Kerajaan digesa lebih fleksibel berhubung dasar baharu ekspatriat

Kerajaan digesa lebih fleksibel berhubung dasar baharu ekspatriat

Micci saran penelitian dibuat ikut kes untuk bantu syarikat urus peralihan tenaga kerja secara bertanggungjawab.

expat working
Presiden Micci Christina Tee berkata, pelaksanaan dasar perlu sejajar dengan realiti sebenar sesuatu sektor, ambil kira garis masa perancangan penggantian berbeza-beza. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa agar memberi kelonggaran dalam pelaksanaan dasar pengambilan ekspatriat yang disemak semula, khususnya bagi syarikat yang sedang menguruskan peralihan jangka panjang untuk jawatan kepakaran.

Menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Micci), pendekatan penelitian mengikut kes mampu membantu syarikat menguruskan peralihan tenaga kerja, sambil memastikan proses pemindahan ilmu kepada bakat tempatan berjalan dengan berkesan.

“Pembangunan bakat rakyat Malaysia ialah keutamaan yang kami sokong sepenuhnya, malah banyak syarikat kini giat melabur untuk melahirkan barisan pelapis tempatan yang berwibawa,” kata Presiden Micci Christina Tee dalam kenyataan.

“Bagaimanapun, bagi jawatan yang menuntut kepakaran khusus atau pengalaman serantau, proses penempatan warga tempatan memakan masa dan tidak selalunya sepadan dengan garis masa dasar yang ditetapkan.”

Dasar baharu itu, yang dirangka untuk membantu syarikat mempersiapkan warga tempatan bagi mengambil alih jawatan ekspatriat pada masa akan datang, akan menetapkan tempoh sah laku pas ekspatriat antara lima hingga 10 tahun, selain meletakkan syarat ambang gaji yang lebih tinggi dan mewajibkan perancangan penggantian.

Mengulas lanjut, Tee menegaskan bahawa pelaksanaan dasar perlulah sejajar dengan realiti sebenar sesuatu sektor, memandangkan garis masa perancangan penggantian berbeza-beza mengikut tahap kerumitan, terutamanya membabitkan jawatan khusus atau pengurusan tertinggi.

Tambahnya, prosedur yang jelas dan konsisten, termasuk penetapan garis masa serta proses kelulusan yang lebih lancar, adalah penting memandangkan dasar ini akan dikuatkuasakan terhadap permohonan baharu dan pembaharuan pas bermula 1 Jun depan.

Terdahulu pada Januari, Kementerian Dalam Negeri berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan menjelang 1 Jun, meliputi penggiat industri, persatuan majikan serta agensi berkaitan, bagi memperincikan mekanisme dan kesan pelaksanaan dasar berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.