KDN teliti anggota AKPS guna ‘taser gun’

KDN teliti anggota AKPS guna ‘taser gun’

Menteri KDN berkata, keputusan dasar telah dipersetujui, dengan pelaksanaannya akan diuruskan dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (empat dari kiri) meninjau pengoperasian di KLIA Terminal 1 hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah AKPS Shuhaily Mohd Zain (dua dari kiri).
SEPANG:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan penggunaan ‘taser gun’ atau pistol renjatan elektrik sebagai langkah awal dalam usaha melengkapkan keperluan persenjataan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan dasar telah dipersetujui untuk menyediakan kemudahan persenjataan kepada AKPS, dengan pelaksanaannya akan diuruskan dalam masa terdekat.

“Terdapat pandangan supaya dimulakan dengan penggunaan taser gun memandangkan situasi di sempadan mungkin tidak semuanya memerlukan penggunaan senjata api dan perkara ini akan diteliti,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.

Saifuddin berkata, hala tuju kerajaan bagaimanapun jelas ke arah melengkapkan AKPS dengan persenjataan bagi memperkukuh keupayaan kawalan sempadan kerana tugas agensi itu melibatkan risiko tinggi dan memerlukan anggota yang bersedia dari segi psikologi serta kemahiran.

Katanya, anggota yang mempunyai latar belakang pasukan keselamatan seperti polis sudah mempunyai kemahiran penggunaan senjata dan hanya perlu dilengkapkan dengan keperluan tersebut.

Selain itu, Saifuddin berkata, AKPS dibenarkan merekrut sehingga 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) tahun ini bagi memperkukuh kawalan pintu masuk negara.

Katanya, pengambilan fasa pertama melibatkan 50 anggota telah selesai, manakala selebihnya akan menyusul dalam fasa seterusnya dengan mereka ditempatkan di beberapa pintu masuk utama termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.

“Di sini (KLIA Terminal 1) sahaja terdapat 18 orang anggota yang baru tamat latihan. Pengambilan kedua sedang dalam proses dan dijangka selesai tahun ini.”

Beliau berkata, anggota yang direkrut mempunyai pelbagai latar belakang kemahiran termasuk latihan komando, jurulatih kawad serta kepakaran lain yang dapat menyokong operasi kawalan sempadan.

Saifuddin berkata, KDN terbuka kepada cadangan daripada Ketua Pengarah AKPS Shuhaily Mohd Zain sekiranya kaedah pengambilan itu terbukti memberi nilai tambah kepada organisasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.