Aerotrain KLIA kembali operasi 24 jam akhir bulan ini, kata Loke

Aerotrain KLIA kembali operasi 24 jam akhir bulan ini, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata laporan ujian teknikal sedang dikemukakan kepada Apad untuk penilaian serta pengesahan aspek keselamatan.

aerotrain klia
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata perkhidmatan aerotrain KLIA masih beroperasi, namun dihentikan sementara selama beberapa jam bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pemeriksaan trek. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi selama 24 jam menjelang hujung bulan ini selepas menerima pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata semua ujian teknikal dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan ketika ini laporan penuh ujian berkenaan sedang dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk tujuan penilaian serta pengesahan aspek keselamatan.

“Dijangkakan selepas pengesahan oleh Apad, menjelang akhir bulan ini, aerotrain akan beroperasi semula selama 24 jam,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen MyKLIA dan MyPutrajaya Monthly TravelCard di KLIA Terminal 2.

Mengulas lanjut, Loke berkata perkhidmatan aerotrain ketika ini masih beroperasi, namun dihentikan sementara selama beberapa jam pada waktu malam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta pemeriksaan trek.

Sebelum ini, MAHB pada 14 Nov lepas mengulangi komitmen untuk memperkukuh kebolehpercayaan sistem aerotrain di KLIA menerusi Pelan Tindakan Komprehensif bagi menangani sepenuhnya isu teknikal yang timbul sejak perkhidmatan itu disambung semula pada Julai 2025.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah pada 13 Okt dilaporkan berkata aerotrain di Terminal 1 KLIA mencatat 19 insiden antara 2 Julai hingga 30 Sept, berpunca daripada pelbagai isu termasuk masalah isyarat serta faktor manusia seperti tindakan penumpang yang memaksa membuka pintu tren.

Sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lepas, sistem aerotrain di Terminal 1 KLIA telah mengangkut kira-kira tujuh juta penumpang serta melengkapkan lebih 53,000 perjalanan pergi balik dengan mencatatkan kadar kebolehsediaan operasi sebanyak 98.41%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.