Kerajaan mahu pastikan MyNIISe lancar usai operasi sepenuhnya September

Kerajaan mahu pastikan MyNIISe lancar usai operasi sepenuhnya September

Menteri dalam negeri bagaimanapun mengakui mungkin berlaku gangguan teknikal kecil dalam tempoh peralihan sistem.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
SEPANG:
Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) di pintu masuk negara berjalan lancar selepas beroperasi sepenuhnya September ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem itu akan menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kawalan sempadan dengan lebih cekap, yang mampu menyelesaikan proses pemeriksaan penumpang dalam tempoh hanya empat hingga lima saat.

“Sistem baharu itu yang menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dilaksanakan berperingkat membolehkan pelepasan dilakukan melalui tiga kaedah iaitu pengecaman wajah, kod QR dan pasport.

“Ini merupakan ‘game changer’…kita tak mahu lagi berdepan keadaan ‘airport congestion’ sama ada pelepasan ataupun ketibaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau bagaimanapun mengakui kemungkinan berlaku gangguan teknikal kecil dalam tempoh peralihan sistem, namun menegaskan ia adalah proses biasa yang akan diminimumkan.

Pada masa sama, Saifuddin berkata aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan, terutama dalam pemeriksaan bagasi bagi memastikan tiada kemasukan barangan terlarang seperti dadah dan senjata.

Katanya, pelaksanaan sistem itu sebahagiannya sudah dimulakan dengan lebih 60 lorong ‘autogate’ di pintu masuk dan keluar, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan penumpang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.