
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata pasukan pemantau turut ditempatkan di KLIA memandangkan jemaah haji kini berlepas melalui satu pintu utama susulan pelaksanaan sistem perjalanan berpusat.
Beliau berkata, pihaknya bersama Lembaga Tabung Haji (TH) juga sentiasa mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran badal haji tidak sah.
“Setakat ini, belum ada sebarang aduan rasmi berkaitan penipuan badal haji bagi musim semasa, namun langkah berjaga-jaga terus diperkukuh melalui pemantauan di lapangan terbang selain media sosial.
“Pemantauan dibuat bagi mengelakkan rakyat tertipu dan kecewa di saat-saat akhir,” katanya menurut Sinar Harian selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kampung Telong, Bachok.
Sebelum ini, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, mengingatkan rakyat Malaysia tidak mudah terperdaya perkhidmatan badal haji meragukan, khasnya yang ditawarkan pada harga rendah luar biasa.
Zulkifli menasihatkan orang ramai merujuk Tabung Haji bagi mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang bayaran.
“Penting memastikan ibadah haji dilaksanakan secara sah dan mengikut ketetapan, selain mengelakkan kerugian kewangan.”