Elak ‘blind spot’, Saifuddin arah projek RSS Pulau Malawali disegerakan

Elak ‘blind spot’, Saifuddin arah projek RSS Pulau Malawali disegerakan

Menteri KDN berkata, pembinaan RSS penting untuk tingkat serta kukuhkan keupayaan pantau pencerobohan di kawasan perairan sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tekankan kepentingan projek RSS di Pulau Malawali, Sabah, disiapkan dengan segera. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan projek pembinaan Tapak Sensor Jarak Jauh (RSS) di Pulau Malawali, Sabah, disegerakan.

Beliau berkata, pembinaan RSS ini penting bagi meningkatkan serta mengukuhkan keupayaan pemantauan terhadap sebarang pencerobohan di kawasan perairan sempadan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Keupayaan radar ini akan memberi maklumat yang sangat-sangat penting kepada kita tentang keselamatan dan ancaman terhadap kawasan laut itu. Daripada situ, barulah kita kerah semua aset-aset untuk memberkas semua bentuk ancaman.

“Disebabkan itu, projek radar kita di Pulau Malawali tidak mampu kita tangguhkan. Kalau kita siap ikut jadual, tak ada lagi ‘blind spot’, ini keperluan nombor satu,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain RSS, Saifuddin berkata, KDN telah mendapat kelulusan dana bagi menaik taraf enam pondok keselamatan agensi penguat kuasa di sekitar Pulau Malawali.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya pada September ini, seiring peningkatan ciri keselamatan MyKad dan pasport Jun ini

Beliau berkata, perkara itu akan menjadi detik penting bagi KDN agar usaha memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih lancar dan teratur.

“Sampai satu tempoh, kita kena keluarkan dokumen yang baharu sifatnya dengan ciri keselamatan yang lebih baik, yang sudah lama kita usahakan,” katanya.

“Saya percaya JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan juga Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) sudah pun bersedia dengan pelan A dan pelan B (untuk menangani komplikasi).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.