KDN dalam proses batal pengharaman 3 buku

KDN dalam proses batal pengharaman 3 buku

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail kata beliau kini tunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara.

3 books
Tiga buku yang dimaksudkan ialah ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’ tulisan Allahyarham Shamsiah Fakeh; ‘Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ tulisan Aziz Suriani; dan ‘Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20’, terjemahan karya Rebecca E Karl.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri dalam proses untuk menarik balik larangan terhadap tiga buku yang didakwa mengandungi ideologi komunisme, termasuk sebuah memoir nenek kepada seorang Adun DAP.

Menteri Dalam negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian masih menunggu jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara itu, lapor Malaysiakini.

Saifuddin berkata keputusan tersebut dibuat selepas isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata, sebagai menteri, beliau mempunyai kuasa untuk menarik balik perintah larangan tersebut.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail.

“Itu yang saya guna sekarang. Tetapi saya mestilah terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara.

“Kemudian, barulah saya menggunakan kuasa untuk membatalkan perintah larangan terhadap satu-satu bahan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Tiga buku yang dimaksudkan ialah ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’ tulisan Allahyarham Shamsiah Fakeh; ‘Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ tulisan Aziz Suriani; dan ‘Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20’, terjemahan karya Rebecca E Karl.

Keputusan kerajaan mengharamkan buku tulisan Shamsiah dan Aziz sebelum ini menerima kritikan termasuk daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Lee Chean Chung, Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh, serta Adun Bandar Utama dari DAP, Jamaliah Jamaluddin yang juga cucu Shamsiah.

Saifuddin turut mengakui bahawa proses pengharaman buku sebelum ini menyebabkan beliau terpaksa ‘memadam kebakaran’, kerana hanya dimaklumkan selepas tindakan penguatkuasaan dilakukan.

Beliau berkata di bawah mekanisme baharu, laporan daripada Cawangan Khas polis tidak lagi akan dikuatkuasakan serta-merta seperti sebelum ini.

Sebaliknya, menteri akan meneliti laporan tersebut terlebih dahulu sebelum meluluskan buku untuk edaran awam atau mengarahkan tindakan lain diambil.

“Sebelum tindakan penguatkuasaan, bahagian penguatkuasaan akan terus berjumpa dulu dengan penerbit.

“Kita mahu penerbit berkenaan dipanggil untuk memberikan penjelasan dan pandangan mereka terlebih dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.