
Setiap kali timbul isu pengharaman buku, pasti reaksinya akan jadi terbelah dua. Ada yang menyokong atas alasan menjaga sensitiviti dan ada membantahnya atas nama meraikan perbezaan idea. Perdebatan tentang ini akan terus berulang. Timbullah hujah pengharaman ‘atas nama menjaga keamanan’ dan bantahan pengharaman pula mengemukakan alasan harus ‘lawan hujah dengan hujah, bukan membungkamkannya’. Persoalan paling senanglah untuk saya tanya, mengapa kita begitu takut kepada buku?
Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan tindakan mengharamkan dua buku terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) berkaitan sejarah PKM, antaranya ialah ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10’, sebuah buku yang sudah berada di pasaran sejak 22 tahun lalu dan ‘Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ yang telah pun diterbitkan pada 2022. KDN berpendapat penilaian keselamatan dilakukan berdasarkan landskap politik semasa dan bukan tarikh sesuatu naskhah itu diterbitkan.
Biasalah, kontroversi ini hanyalah satu episod daripada sejarah pengharaman beberapa bahan bacaan di negara ini. Sebelum ini, ada sahaja beberapa karya lain turut melalui nasib serupa. Biasanya buku-buku politik, agama dan penganjuran ideologi yang tak ‘selari’ dengan nada kerajaan akan diharamkan. Itu adalah tindakan paling pantas dilakukan sebelum tindakan seterusnya dibuat sama ada kekal haram atau melepaskannya semula. Yang tak pernah nampak atau baca buku tersebut pun akan menyokong tindakan pengharaman tersebut. Begitu juga yang membantah, ada yang tak menelaahnya pun. Ikut-ikut.
Tapi itu cerita lain. Yang membengangkan, saya fikir ia dihukum berdasarkan persepsi, bukan analisis. Pengharaman dianggap sebagai satu tindakan berbentuk perlindungan iaitu untuk menyelamatkan masyarakat daripada ideologi berbahaya. Tetapi apakah perlindungan maksudnya membataskan pemikiran rakyat? Apakah badan berautoriti beranggapan rakyat begitu rapuh sehingga tidak mampu berdepan pandangan berbeza? Atau pemikiran ‘mereka’ di badan tersebut sebenarnya yang paranoid?
Kita harus sedar tahap pendidikan generasi terdiri daripada usia 30 hingga 50 tahun hari ini kebanyakannya lepasan institut pengajian tinggi dan sudah pastilah ‘biasa’ dengan buku-buku. Maka itu, dalam masyarakat yang bergelar graduan, buku sudah difahami sebagai bahan untuk bertukar idea. Masyarakat yang matang akan lebih maklum bahawa tidak semua idea perlu dipersetujui, tetapi semua idea wajar diberi ruang untuk dinilai. Di situlah kunci untuk negara ini melahirkan masyarakat intelektual, di mana mereka mampu menilai dan menapis berbagai idea mengikut kebestarian mereka.
Tapi nampaknya ‘kita’ lebih cenderung untuk mengawal naratif daripada membina kefahaman. ‘Kita’ mahu menentukan apa yang boleh dibaca dan apa yang boleh difikirkan dalam satu hala sahaja iaitu mengikut hala tuju ‘kita’. ‘Kita’ bimbang idea-idea lain akan menggugat kestabilan negara (baca: kita). Sebuah kebimbangan yang bagi saya tidak berasas.
Sejarah menunjukkan ketakutan terhadap idea tidak semestinya berasas. Dr Mahathir Mohamad menulis buku ‘The Malay Dilemma’, sebuah analisis tentang kedudukan ekonomi orang Melayu pasca penjajahan. Buku itu diharamkan oleh perdana menteri pertama kerana sudah pastilah beliau tidak menyenangi kandungan buku tersebut yang mengkritik keras kepimpinannya.
Namun, beberapa tahun kemudian, idea-idea dibentangkan di dalamnya dikatakan turut mempengaruhi pemikiran dasar negara, termasuk dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru oleh perdana menteri kedua. Ini jelas menunjukkan, apa yang pada satu ketika dianggap ‘berbahaya’, akhirnya menjadi rujukan.
Contoh lain dapat dilihat dalam kes karya penulis Faisal Tehrani. Tujuh buku karyanya yang diharamkan kerajaan terdahulu ialah ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’, ‘Karbala’, ‘Tiga Kali Seminggu’, ‘Ingin Jadi Nasrallah’, ‘Perempuan Nan Bercinta’, ‘Sinema Spiritual: Dramaturgi’ dan termasuklah koleksi esei ‘Aku_, Maka Aku Ada!’
Faisal sering dikaitkan dengan dakwaan membawa pengaruh tertentu (lebih tepat: Syiah) dalam pemikiran Islam. Sekali lagi, apabila sesuatu idea dilihat berpotensi mencabar arus perdana, responsnya adalah larangan. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan perintah pengharaman KDN ke atas empat buku tulisan Faisal kerana melanggar hak kebebasan bersuara beliau sebagai penulis.
Apabila kita takut kepada idea, kita seakan mengesahkan yang kita tidak yakin dengan kemampuan masyarakat untuk berfikir. Dan, perangai ini berkait-kait di dalam bidang lain. Lihat juga kenyataan ketua setiausaha negara baru-baru ini tentang dasar bekerja dari rumah (BDR) iaitu BDR bukan ‘baring duduk rehat’ atau ‘beli-belah di pasar raya’. Ia berbentuk pesimis seolah-olah semua kakitangan awam dipukul rata begitulah perangainya. Jika beliau menambah lagi menggunakan BDR sebagai slogan optimis seperti ‘bekerja dengan rajin’ atau ‘bina disiplin rutin’ bukankah lebih baik?
Berbalik kepada isu pengharaman idea melalui medium buku, kita kini hidup dalam era di mana maklumat mengalir tanpa sempadan. Apa yang diharamkan di satu tempat boleh diakses dengan mudah di tempat lain. Dan seperti sering berlaku, apa dilarang itulah yang menjadi lebih menarik untuk dicari.
Idea-idea berbahaya dan pecah-belah saya lihat hari ini lebih banyak dalam bentuk video di media sosial. Setiap hari ada ucapan, hantaran oleh ahli politik sendiri, aktivis malah agamawan yang jelas mencampakkan idea provokasi dan sensitif mereka di sana. Dan mereka tidak langsung menasihatkan pengikut agar bertenang dan pertimbangkan idea mereka dengan baik. Idea-idea mereka bebas liar bergentayang di layar maya sepertimana mereka yang masih terus bebas bercakap. Tak pasal-pasal, buku yang kaku pula dipenjarakan. Adakah kita benar-benar risau tentang kesan buku atau kita sebenarnya lebih selesa mengawal sesuatu yang mudah dikawal?
Buku boleh diharamkan dan ia akan duduk terperap di situ tetapi bagaimana dengan ucapan, kata-kata, hasutan di media sosial? Jika kita benar-benar percaya bahawa rakyat boleh menerima pandangan dan idea-idea lain dalam bentuk tersebut, mengapa menerima maklumat daripada buku tak boleh?
Mengharamkan buku mungkin memberikan kelegaan sementara. Ia memberi gambaran bahawa sesuatu telah diselesaikan. Tetapi dalam jangka panjang, ia tidak menyentuh akar masalah iaitu ketidakupayaan kita untuk berdepan dengan perbezaan. Selagi kita tidak selesa dengan idea yang mencabar, selagi itulah kita akan statik tak bergerak.
Perlu juga ditegaskan bahawa mempertahankan perbezaan idea tidak bermaksud kita menerima semua perkara tanpa batas. Sebagai masyarakat berilmu sudah tentulah kita mampu memiliki garis panduan dan nilai tersendiri. Nilai itulah yang mampu membezakan antara idea yang boleh diikut, idea yang mampu dicabar dengan hujah, dan idea yang perlu ditolak.
Bagi saya, isu pengharaman buku ini bukan sekadar tentang tajuk buku, penulis, idea dan penerbit. Ia adalah cerminan hati nurani (conscience) rakyat. Kerajaan harus bersedia mencerdikkan lagi rakyat dalam ‘pendidikan luar silibus’ agar rakyat pandai menilai persaingan idea yang terbuka dan bukannya dimomokkan dengan hidup selesa dalam ruang dikawal. Lebih penting mendidik rakyat untuk berani memahami kerana dalam langit yang semakin terbuka ini ketidakfahaman itulah yang paling berbahaya. Kerana bagi saya, masyarakat yang ditakutkan dengan idea-idea lain itulah yang bukan sahaja mudah dipengaruhi tetapi juga mudah dikawal akal fikirannya daripada terdedah dengan pelbagai alternatif dan naratif. Kita harus keluar daripada penjajahan minda sebegini!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.