Polis diminta perinci mekanisme kawalan di stesen minyak

Polis diminta perinci mekanisme kawalan di stesen minyak

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kata ia bagi pastikan anggota yang ditempatkan tak keliru dengan tugasan mereka.

fuel subsidies
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April setuju syor menempatkan polis di stesen minyak bagi memperkasa penguatkuasaan susulan peningkatan risiko bahan api tiris akibat krisis tenaga global.
PUTRAJAYA:
Polis diminta untuk memperincikan mekanisme penugasan dalam membuat kawalan di stesen minyak di kawasan sempadan bagi mengekang penyeludupan bahan api.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting bagi memastikan anggota yang ditugaskan menjaga stesen minyak tidak keliru dalam penugasan mereka.

“Kita perlu tentukan dahulu apa maksud penugasan itu, akta mana yang hendak digunakan dan pasukan mana yang kita hendak gerakkan. Kita mesti bekerja secara bijak dalam melaksanakan tugas ini.

“Jadi kita sukat ikut keupayaan kita dengan SOP yang jelas supaya anggota yang ditugas itu tidak samar-samar dari segi penugasan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sabtu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata Jemaah Menteri setuju syor menempatkan polis di stesen minyak bagi memperkasa penguatkuasaan susulan peningkatan risiko bahan api tiris akibat krisis tenaga global.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April mempersetujui syor itu sebagai peluasan penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan, sejak 20 Mac.

Beliau berkata, bantuan polis diperlukan memandangkan kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang di seluruh negara susulan konflik perang.

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan hanya 170 stesen minyak bakal ditempatkan anggota polis dan fokus pengawasan kepada yang terletak berhampiran sempadan serta dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.

Menurut beliau, data jualan daripada Kementerian Kewangan dan KPDN akan digunakan untuk mengenal pasti stesen minyak yang mencatatkan jumlah jualan luar biasa serta tidak munasabah.

“Kita bukan nak jaga semua 4,000 stesen minyak, tetapi kita akan fokus kira-kira 170 stesen minyak dekat sempadan.

“Kalau nilai jualan itu mencanak, tak masuk akal, kita akan ‘zoom in’ di situ dan tingkatkan pengawasan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.