KPDN buka 3 kes salah guna kad fleet di Kedah

KPDN buka 3 kes salah guna kad fleet di Kedah

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah Zalina Aziz berkata pihaknya juga sedang membuat semakan semula terhadap syarikat yang diberikan kemudahan itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya Zalina Aziz bernama pic 30526
Pelaksanaan Ops Tiris Bersepadu 4.0 dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis merekodkan 30 kes dengan 16 kes melibatkan rampasan diesel manakala 14 kes membabitkan petrol di Kedah, kata Ketua Pegawai Penguat Kuasanya Zalina Aziz. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah setakat ini telah membuka tiga kes berkaitan penyalahgunaan kad fleet yang masih dalam siasatan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah, Zalina Aziz, berkata pihaknya juga sedang membuat semakan semula terhadap syarikat yang diberikan kemudahan kad fleet bagi memastikan ia tidak disalahgunakan atau melanggar syarat ditetapkan.

“Contohnya, ada syarikat mengisytiharkan mempunyai 20 lori tetapi selepas semakan mungkin hanya 10 lori sahaja yang benar-benar wujud.

“Jika didapati berlaku pelanggaran syarat atau penyalahgunaan, kita akan mengesyorkan pembatalan kad fleet pihak terbabit kepada ibu pejabat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Ops Tiris Bersepadu 4.0 dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis merekodkan 30 kes dengan 16 kes melibatkan rampasan diesel manakala 14 kes membabitkan petrol di negeri itu.

“Ops Tiris yang dilaksanakan bermula 16 Mac hingga kini, merekodkan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM1.4 juta dan sebanyak 26 kenderaan turut disita,” katanya.

Sementara itu, Zalina berkata ketika ini terdapat kira-kira 190 anggota penguat kuasa di lima cawangan di seluruh negeri, namun masih berdepan kekangan untuk memantau keseluruhan 362 stesen minyak di Kedah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30 stesen minyak diberi pemantauan khusus termasuk 18 di kawasan sempadan seperti Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Baling.

“Di kawasan industri seperti Sungai Petani dan Kulim, cabarannya lebih besar kerana terdapat banyak laluan keluar masuk serta kawasan kilang yang luas menyebabkan kegiatan penyelewengan bahan api sukar dijangka.

“Mereka yang terlibat juga sering menukar kenderaan dan nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menjalankan kegiatan pada waktu awal pagi disebabkan kurangnya pekerja di stesen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama erat dengan polis berjaya membantu dari segi risikan dan operasi lapangan serta meningkatkan aspek keselamatan anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.