Buku halal, buku haram

Buku halal, buku haram

Keputusan KDN semak semula pengharaman 3 buku, perkenal mekanisme kawalan baharu amat dialu-alukan, asalkan kerajaan teguh pendirian dan tidak tunduk kepada tekanan.

Mohsin Abdullah

Esok Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bermula. Bercakap pasal buku, saya teringat buku Shamsiah Fakeh. Apa jadi? Masih diharamkan? Atau sudah dihalalkan?

Saya tanya sebab 23 Mei lalu ada laporan media memetik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan dalam proses membatalkan pengharaman buku itu. Bukan sahaja buku ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10’. Ada dua lagi.

Satu berjudul ‘Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ dan satu lagi, ‘Mao Zedong dan China dalam Dunia Abad ke-20’. Ketiga- tiga buku ini, menurut KDN, dikaitkan dengan fahaman komunis. Dan sekarang dikatakan pengharaman dalam proses pembatalan.

Imbau kembali apa kata Saifuddin 23 Mei lalu. Ini saya petik laporan Malaysiakini: Kata beliau, keputusan itu (membatalkan pengharaman) diambil selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Menteri ada kuasa untuk membatalkan Perintah Larangan (pengharaman). Itu yang saya guna sekarang,” Saifuddin dilapor berkata. Tetapi katanya lagi, “proses yang dilakukan menteri adalah saya mesti terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara”.

Jadi pertanyaan susulan paling wajar sekarang, apa maklum balas Peguam Negara? Setahu saya, sehingga kini tiada berita mengenainya. Tak tahulah jika saya terlepas pandang atau gagal dalam pencarian dengan bantuan Google. Rasanya tidak.

Apa pun, mengimbau detik pengharaman ini, daripada tiga buku terbabit, larangan ke atas buku Memoir Shamsiah Fakeh dan Komrad Asi dikuatkuasakan terlebih dahulu, iaitu pada April 2026.

Kata KDN, tindakan ‘tegas’ diambil ‘demi keselamatan awam’. Aneh, khususnya buku Shamsiah. Ia dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004. Maknanya, ia sudah berada dalam pasaran selama lebih dua dekad. Baru sekarang didapati ‘mengancam keselamatan’?

Buku terjemahan buku Mao berbentuk sejarah akademik dan diterbitkan guna dana kerajaan negeri Selangor. Ertinya, penerbitan buku-buku itu bukanlah hasil ‘some clandestine underground operation’.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan tiga buku berkenaan mendapat reaksi negatif amnya. Ramai termasuk saya yang pelik dan marah. ‘It just doesn’t make sense’. Dan kami juga kecewa, kerana ia berlaku atau dilakukan ketika pemerintahan kerajaan Madani.

Kalau ia berlaku di bawah pemerintahan kerajaan zaman lampau, kita boleh faham. Bukan setuju, tetapi ‘faham’ dan ‘akur’. ‘For obvious reasons’. Malah pada pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, tiga akhbar diharamkan, pejabatnya ditutup.

Tetapi pengharaman buku berlaku pada zaman sekarang. Sebelum ini, ada juga buku dirampas. Pada zaman seorang perdana menteri yang ramai tahu minat buku dan suka membaca. Pentadbirannya menggalakkan orang ramai membaca.

Yang ingin saya sampaikan: ‘We do not expect this coming from Madani’. Bukankah kerajaan patut pupuk budaya berfikir secara kritis?

Lalu apabila Saifuddin berkata apa yang beliau katakan tadi, ia dialu alukan. ‘It’s like a breath of fresh air’. Sebenarnya, ‘it is something expected of the current administration’.

Saifuddin mengakui bahawa proses pengharaman juga perampasan menyaksikan beliau sering terperangkap dalam situasi terpaksa ‘fire fighting’. Kata Saifuddin, beliau hanya tahu setelah ia terjadi dan setelah ‘benda itu menjadi isu. Itu amalannya’.

Namun sekarang, ada mekanisme baharu yang telah dibentang kepada Jemaah Menteri. Di bawah mekanisme itu, laporan daripada Cawangan Khas (supaya sesuatu tindakan diambil) tidak akan terus dikuatkuasakan oleh Bahagian Pengawasan dan Kawalan seperti lazim.

Sebaliknya, senarai tersebut perlu melalui penelitian menteri terlebih dahulu. Memang tidak ada jaminan pengharaman atau rampasan tidak terjadi lagi. Oleh itu, saya harap (dan yakin) menteri akan lakukan apa yang wajar.

Dan andai tindakan perlu diambil, kata Saifuddin, pihak penguatkuasa mesti terus jumpa penerbit untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada hasrat mereka perlu diteruskan atau tidak.

Bagus. Tetapi malangnya, hampir pasti akan ada golongan batu api yang mengapi-apikan kakitangan awam, kononnya cadangan atau keputusan yang mereka buat ‘not good enough’ dan tidak boleh dipercayai. Lantas menteri mesti masuk campur dan semua perlu izin menteri.

Dalam kes tiga buku yang disebut tadi, pasti ada tuduhan kerajaan tunduk kepada tekanan dan padang enteng ancaman komunis sehingga mengetepikan saranan Cawangan Khas dan sebagainya.

Tetapi harapan saya, menteri, kementerian malah kerajaan tidak goyah jika berdepan tuduhan seperti itu. Tidak goyah kerana keputusan dibuat ‘with a clear conscience’, bertindak adil menggunakan kebijaksanaan.

Bagi saya, apa yang mereka mesti lakukan ialah perkara yang benar; yakni, ‘the right thing’. Dan membatalkan pengharaman buku dan tidak laksana pengharaman pada zaman ini sewenang-wenangnya ‘is doing the right thing’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.