11 entiti tawar kredit sewa beli bawah akta baharu bermula 1 jun

11 entiti tawar kredit sewa beli bawah akta baharu bermula 1 jun

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata fasa kedua pelaksanaan itu pula disasarkan bermula September 2026.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan menguatkuasakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi bermula esok untuk perkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli, bersedia sepenuhnya untuk menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan yang termaktub dalam Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bermula 1 Jun, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata fasa kedua pelaksanaan itu pula disasarkan bermula September 2026 dan pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu itu, dinasihatkan membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli.

“Pada masa yang sama, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan pengubahsuaian sistem, diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.

“Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan kementerian sebaik memuktamadkan proses peralihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata kementerian itu akan menguatkuasakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi bermula 1 Jun 2026, sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing.

Sejajar dengan pindaan itu, beliau berkata Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] turut akan berkuat kuasa.

Beliau berkata penguatkuasaan itu susulan pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang diluluskan di Parlimen pada 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan ekosistem kredit pengguna.

Armizan berkata antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat sebelum ini ialah transaksi sewa beli bagi pembelian kenderaan, khususnya membabitkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.

“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya.

Antara inti pati utama pindaan berkenaan ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Peraturan 78.

Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.

Sebagai ganti, pindaan itu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.

Armizan berkata pindaan berkenaan turut membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik, selaras dengan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian sewa beli.

Beliau berkata pindaan itu juga memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.

“Reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.