
Armizan berkata walaupun kes berkaitan tuntutan Sabah itu masih menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan, GRS kekal dengan pendirian semakan terbaharu terhadap kadar berkenaan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan tahun ini.
“Diyakini kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada 2026.
“Ini sejajar komitmen dizahirkan perdana menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 13 Nov 2025 bahawa kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40% pemberian khas bagi Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Armizan berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor akan terus menggunakan mekanisme rundingan sedia ada bagi memastikan kadar hak hasil yang disemak semula itu dilaksanakan tahun ini seperti syor dikemukakan secara rasmi.
“Sabah menuntut hak dan tambahan hasil ini untuk memperbesarkan ruang fiskal negeri untuk kesejahteraan rakyat serta lonjakan pembangunan negeri,” kata Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Papar itu berkata peningkatan hak hasil Sabah daripada hanya RM26.7 juta setahun antara 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini membolehkan kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif baharu.
Pada peringkat awal peningkatan itu, katanya, pentadbiran Hajiji memperkenalkan beberapa inisiatif berteraskan rakyat bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai segera, khususnya oleh golongan rentan yang hidup dalam kemiskinan.
“Antaranya ialah inisiatif Rumah Mesra SMJ. Dari 2022 hingga 30 April lalu, sebanyak 6,634 rumah telah siap dibina dan diduduki isi rumah miskin.
“Sementara itu, program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang diperkenalkan dua tahun lalu pula menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah,” katanya.
Armizan berkata peningkatan pemberian khas pada tahun ini akan membolehkan kerajaan menumpukan inisiatif tambahan seperti menaik taraf rangkaian paip air bagi menangani isu air tidak berhasil, selain membina jambatan di seluruh negeri khususnya di kawasan luar bandar.
Mahkamah Rayuan pada April membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40% daripada hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
Hakim Zaini Mazlan berkata Putrajaya akan “jelas terjejas” sekiranya dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa diberi peluang mengemukakan hujahnya dalam rayuan.