
Kata wartawan veteran Zin Mahmud beliau ada t-shirt Shamsiah Fakeh. Maksud saya t-shirt bergambarkan Shamsiah. Beliau ada juga T-shirt Ali Shariati. Untuk artikel ini saya tumpukan perhatian kepada Shamsiah.
“Buku haram T-shirt tak haram,” kata Zin di Facebook. T-shirt itu beliau beli pada 2019 tapi “aku taklah pakai sebab nanti orang yang suka bersangka buruk akan memandang serong.”
Betul juga. Tetapi untuk seseorang hendak ‘pandang serong’ orang itu terlebih dahulu mestilah tahu siapa Shamsiah dan percaya apa yang dia diberitahu mengenai wanita itu adalah sesuatu yang betul.
Namun, pada hemat saya ramai ‘kenal’ khususnya golongan muda yang tidak ‘kenal’ Shamsiah dan peranannya dalam sejarah tanah air. Dan apabila Kementrian Dalam Negeri (KDN) tempoh hari mengharamkan buku ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Regimen ke-10’, sebahagian sejarah negara lenyap.
Golongan yang sememangnya tidak tahu akan kekal tidak tahu. Golongan mendatang tentulah tidak akan tahu sampai bila-bila. Ini menyedihkan.
Sebuah lagi buku yang diharamkan berjudul ‘Komrad Asi (Regimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’. Ia diterbitkan pada 2022 manakala buku Shamsiah terbitan pertama pada 2004 oleh Universti Kebangsaan Malaysia.
Ertinya, setelah sekian lama bebas – dijual, dibeli, dibaca – baru sekarang diharamkan. Namun, kata KDN setiap tindakan penguatkuasaan dibuat ‘bukan semata-mata bergantung kepada tarikh penerbitan sesuatu bahan’.
Ia dibuat kata KDN ‘berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam’. Lantas, kata KDN larangan ke atas buku tersebut ‘merupakan langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada penyemaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam’.
Maksudnya, semasa diterbitkan buku itu tidak mendatangkan ‘mudarat’ kepada masyarakat waktu itu tetapi hasil penilaian semula ‘after a long time’ KDN percaya masyarakat zaman ini mesti dlindungi ‘daripada penyemaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam’.
Memang kedua-dua buku boleh dilihat sebagai berunsur komunisme kerana berkaitan Parti Komunis Malaya. Pada hemat saya masyarakat zaman ini lebih ‘sophisticated’ daripada masyarakat dulu – tetapi ‘dulu’ yang dimaksudkan tidak lama mana pun bezanya.
Shamsiah dan Regimen 10 yang dianggotai orang Melayu berulang-kali mendakwa mereka berjuang menentang Inggeris untuk menuntut kemerdekaan Malaya melalui PKM. Dalam erti kata lain mereka menggunakan PKM sebagai pentas untuk berjuang. Percaya atau tidak terpulang.
Perlu dinyatakan buku Abdullah CD, Rashid Maidin – dua nama besar PKM/Regimen 10 masih boleh dibeli di kedai buku seluruh tanah air. Begitu juga buku Setiausha Agung PKM Chin Peng.
Semasa UKM kali pertama menerbitkan buku Shamsiah ia dikatakan sebagai bahan rujukan dan refleksi sejarah bagi memberi ruang kepada masyarakat menilai semula sesuatu perkara dengan kritis .
Kata bekas pengarang majalah Mastika, Zulkarnian Zakaria, menerusi hantaran di Facebook: “Saya tidak menjadi komunis pun dengan membaca buku-buku ini. Malah tidak terpengaruh langsung.”
Dan katanya lagi “zaman komunis sudah lama berlalu. Ideologinya sudah lapuk terbukti gagal dan hampir pupus. Hanya tinggal lima atau enam negara yang masih percaya pada komunis Marxism.”
Bagi Zulkifli, buku itu sekadar dokumen untuk memahami sejarah negara dari perspektif berbeza. Perlu dinyatakan ayah Zulkifli, bertugas sebagai special constable waktu darurat ditembak mati oleh komunis.
“Sudah tentu saya benci kekejaman komunis,” katanya. Tapi sejarah perlu dilihat dengan hati yang tenang dan tanpa bias. Ia juga perlu dibaca dari pelbagai sumber dan perspektif.
Kata Zin, Shamsiah sudah menjadi sebahagian daripada sejarah politik Melayu, Malaya dan Malaysia. Ia sudah masuk ke dalam kesedaran dan memori kolektif bangsa pelbagai generasi. Memang betul.
“Buatlah apa pun tidak ada siapa yang boleh memadam sejarah.” kata Zin. Sekali lagi saya kata betul kata beliau tetapi ‘people can always try’ dan tidak kurang ramai yang cuba memadam sejarah.
Saya akhiri penulisan ini dengan satu cadangan Zin: “Tak adil mengharamkan buku begitu saja. Sepatutnya ada tribunal buku.”
Jika ada sesiapa yang mahu kerajaan mengharamkan sesebuah buku pengadu mestilah bawa buku itu ke tribunal. Bagi pendakwaan dan buku itu dibicarakan.
Saksi yang terdiri daripada pakar bidang boleh dikemukakan. Peminat buku berkenaan bolehlah menjadi pembela. Setelah masing-masing mengemukakan hujah, majistret buat keputusan sama ada buku itu patut diharamkan untuk berapa lama. Tidak bolehlah selama-lamanya kerana masyarakat pasti berubah.
Tribunal juga perlu ada mekanisme pengampunan. Buku yang diampunkan bebas daripada pengharaman. Setuju 100%.
Saya menambah. Jika KDN (baca kerajaan) yang bertindak mengharamkan buku secara sendirian yakni tanpa ada pihak buat aduan – penulis atau penerbit buku terlibat boleh juga bawa kes kepada tribunal buku. Ertinya ada satu saluran khusus. Saluran alternatif selain bawa ke mahkamah ‘biasa’.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.