Wan Junaidi: Timbul isu tebus guna tanah P Pinang bukan kerana p’raya

Wan Junaidi: Timbul isu tebus guna tanah P Pinang bukan kerana p’raya

Menteri kecewa dakwaan Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy kononnya rancangan projek tebus guna tanah di Pulau Pinang dijadikan senjata pilihan raya.

wan-junaidi-p-ramasamy2
GEORGE TOWN: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini kecewa dengan tuduhan kononnya beliau menjadikan isu rancangan projek tebus guna tanah di Pulau Pinang sebagai senjata pilihan raya.

Wan Junaidi merujuk kenyataan Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy yang berkata beliau “tidak patut menunggu terlalu lama untuk mengeluarkan kenyataan berat sebelah mengenai projek Pulau Pinang; bukan beberapa bulan sebelum pilihan raya umum”.

“Saya yakin ia gimik pilihan raya untuk mengekalkan kerusi Parlimen Balik Pulau dan kerusi negeri lain di kawasan itu,” katanya.

Wan Junaidi, menjawab Ramasamy, berkata beliau sekadar menyuarakan pandangan berhubung perkara itu dan tidak melihat pada pilihan raya.

“Saya memberikan pandangan peribadi berdasarkan apa yang saya tahu tentang isu itu. Pendirian saya konsisten.

“Kamu boleh melaksanakan projek tebus guna tanah seperti di Johor dan Melaka, tetapi saya tidak bersetuju kalau kamu mencipta pinggir laut baharu.

“Malang sekali pandangan peribadi saya dilihat sebagai politik,” katanya pada FMT.

Wan Junaidi dilaporkan menerima surat bantahan membantah projek tebus guna tanah daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Beliau tidak bersetuju dengan projek itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan pada sumber marin dan pendapatan para nelayan tetapi juga mengubah pentas benua negara.

“Jika tebus guna tanah melebihi 3 batu nautika daripada pesisir pantai (had yang dibenarkan undang-undang), pentas benua negara akan beralih dan mungkin memasuki perairan antarabangsa. Saya tidak boleh bersetuju dengan langkah itu,” katanya.

Beliau menambah tebus guna tanah itu akan “menyalahi undang-undang jika dilaksanakan sekarang sekiranya kerajaan negeri bertegas meneruskan projek itu”.

Beliau berkata laporan impak projek itu ke atas sosial, politik dan kehidupan marin belum diterima daripada pemaju dan kerajaan negeri.

Wan Junaidi menjelaskan beliau ada meninjau kawasan itu selepas diundang 2 kali oleh persatuan nelayan.

“Saya datang ke Pulau Pinang mengikut jadual saya. Nelayan datang bertemu saya dan minta saya melihat kawasan.”

Wan Junaidi turut menyangkal dakwaan Ramasamy kononnya beliau lantang mengenai perkembangan di Pulau Pinang tetapi membisu dalam isu yang memberi kesan pada nelayan dan alam sekitar di negeri lain.

Beliau seterusnya menyenaraikan isu alam sekitar yang pernah beliau timbulkan dan menegaskan beliau konsisten selama ini.

Beliau pernah bercakap mengenai isu alam sekitar seperti perlombongan bauksit di Kuantan, pencerobohan hutan Merapoh di Pahang, pencemaran ammonia di sebatang sungai di Johor, pencemaran di Semenyih, kilang haram dan ladang ayam.

“Saya juga pernah bercakap mengenai kes haiwan terbunuh dilanggar pengguna jalan raya dan menyuarakan kemarahan terhdap pemandu yang tidak pedulikan haiwan.”

Beliau juga mengesali kematian seekor beruang yang maut dilanggar seorang pengguna jalan raya di Kuala Dungun, Terengganu, beberapa hari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.