
Oleh James Tan
Seperti yang dijangkakan, rang undang-undang berita palsu diluluskan pada 2 April 2018. Bagaimanapun, apa yang mengejutkan adalah undian semua 10 ahli Parlimen dari PAS yang hadir turut memihak kepada rang undang-undang tersebut.
Tidak seperti rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya yang hanya disokong ahli Parlimen Barisan Nasional, rang undang-undang berita palsu ini menerima sokongan dwi-partisan.
Di Jerman, undang-undang NetzDG terhadap berita palsu diluluskan pada akhir Jun 2017 dan mula berkuat kuasa pada awal Oktober tahun sama.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan undang-undang yang mengharamkan berita palsu semasa kempen pilihan raya Perancis, yang akan dikuatkuasakan menjelang akhir 2018. Singapura pula melantik jawatankuasa 10 anggota, juga pada Januari 2018 untuk menangani berita palsu.
Jelas di sini, perang terhadap berita palsu telah sampai ke peringkat antarabangsa. Persoalannya, adakah kerajaan serata dunia mahu mengekang kebebasan bersuara berniat jahat atau ancaman berita palsu ini benar-benar berbahaya?
Walaupun kekangan terhadap kebebasan mampu menekan masyarakat dengan kuasa yang ada, kebebasan mutlak boleh menyebabkan kemusnahan masyarakat dari dalam.
Secara prinsipnya, mana-mana undang-undang yang menghalang aliran maklumat adalah serangan ke atas kebebasan bersuara.
Di dunia yang ideal, pendekatan yang tepat adalah untuk mendidik rakyat tentang kepentingan mengesahkan maklumat diterima, bukannya menyekat informasi menggunakan rang undang-undang. Dalam dunia yang ideal juga, rakyat terdedah kepada kedua-dua belah pihak secara langsung.
Bagaimanapun, dunia hari ini jauh dari ideal. Walaupun tanggapan bahawa maklumat menjadi lebih demokratik di mana pengetahuan boleh didapati dengan mudah, realitinya ialah jenis maklumat yang kita terima berdasarkan data peribadi tentang perwatakan dan kepercayaan kita yang selama ini direkodkan media sosial.
Ilmu pengetahuan adalah kuasa. Tetapi, bagaimana jika ilmu itu dimanipulasi algoritma yang hanya menyalurkan maklumat kita suka sahaja?
Bagaimana maklumat dimanipulasi? Untuk mencari jawapan, saya melakukan satu kajian.
Saya membuka beberapa akaun baru di media sosial dan setiap satu dimulakan dengan “Like” halaman Facebook yang berpihak kepada satu parti sahaja. Nampaknya setiap “newsfeed” akaun itu dipaparkan dengan sudut berita dan kandungan berbeza tentang subjek sama.
Saya mengikuti halaman yang berpihak kepada parti politik tertentu. Apa yang saya dapati adalah saya dihidangkan maklumat menyokong parti politik berkenaan sepenuhnya dan serangan terhadap pihak lawan.
Oleh itu, jika anda selama ini hanya “Like” halaman atau portal berita yang berpihak kepada ideologi politik tertentu, anda dikecualikan daripada penyiaran maklumat dari sudut berbeza.
Maklumat yang kita dapat kelihatan tulen di dunia media sosial kita sendiri, sebenarnya palsu. Yang paling menakutkan adalah, kita mungkin tidak menyedari kepalsuan berita tersebut kerana kita terkurung di dalam kepompong realiti kita sendiri.
Sudah tentu, sesetengah orang lebih selesa menerima maklumat yang memperkukuhkan kepercayaan mereka sekarang. Namun, apabila perkara ini berlaku, masyarakat akan terjerumus ke lembah kesesatan.
Beberapa negara barat sudah menjadi mangsa berita palsu, di mana maklumat sedemikian yang menyelinap ke negara-negara maju mengakibatkan rakyat mereka mengambil tindakan boleh dipertikaikan.
Sebagai contoh, seperti dilaporkan The Guardian, Brexit di United Kingdom sebahagian besarnya disebabkan berita palsu yang menghasut rakyat dengan sentimen anti-Islam dan mendakwa populasi penduduk Kesatuan Eropah di United Kingdom melebihi rakyat Britain.
Di Amerika Syarikat pula, terdapat dakwaan serius tentang operasi berita palsu Rusia menyasarkan pilihan raya presiden yang memberi kemenangan kepada Donald Trump.
Untuk melindungi diri kita daripada berita palsu, kita perlu membuka saluran berita dari pelbagai sumber. Rakyat Malaysia harus meneroka maklumat di luar zon selesa kita. Kita perlu sentiasa mencari cerita daripada semua sudut.
Media sosial boleh memusnahkan masyarakat kita, jika kita menggunakannya dengan salah. Sebaliknya, menggunakannya secara bijak akan membawa kita lebih dekat kepada kebenaran, yang merupakan kekuatan sebenar ilmu pengetahuan.
Perbincangan mengenai baik buruk undang-undang berita palsu akan berterusan. Namun, apa yang lebih penting sekarang adalah kita tahu cara melindungi masyarakat kita daripada maklumat palsu.
Mulakan dengan menekan butang “Like” di halaman media sosial yang menyiarkan maklumat daripada sumber yang pelbagai dan ikuti rakan mempunyai fahaman ideologi atau politik berbeza.
Kandungan dipaparkan berita media sosial kita akan berubah secara dramatik dan kita akan dibebaskan daripada kepompong yang selama ini tidak disedari kewujudannya.
Mari kita mengorak langkah #ForwardTogether dengan minda terbuka dan kesediaan untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sudut.
James Tan ialah ahli jawatankuasa Organisation for National Empowerment (ONE).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.