SKMM siasat 17 individu sebar maklumat palsu harga bahan api, tarif elektrik

SKMM siasat 17 individu sebar maklumat palsu harga bahan api, tarif elektrik

Sembilan lagi suspek masih dalam pemantauan dan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

SKMM berkata, penyebaran maklumat palsu berkenaan boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat 17 individu disyaki menyebarkan maklumat palsu kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di media sosial.

SKMM dalam kenyataan, memaklumkan sehingga kini rakaman percakapan lapan suspek telah selesai, termasuk lima kes melibatkan hantaran palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.

“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan,” katanya.

SKMM berkata, terdapat juga tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik, sementara sembilan lagi suspek masih dalam pemantauan dan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“SKMM memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Katanya, penyebaran maklumat palsu berkenaan boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.