5 individu sebar dakwaan palsu kenaikan harga bahan api disiasat

5 individu sebar dakwaan palsu kenaikan harga bahan api disiasat

Tiga individu sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Sesi rakaman percakapan ke atas suspek terlibat. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Lima individu disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel di Threads disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Daripada jumlah itu, tiga sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

SKMM berkata, kandungan disebarkan semua suspek didapati palsu dan mengelirukan, selain berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pengguna.

Katanya, semakan turut mendapati Buletin TV3 mengeluarkan penafian terhadap kandungan itu yang didakwa disunting menggunakan identiti visual mereka.

“SKMM juga menerima aduan daripada Buletin TV3 yang menegaskan kandungan tular itu bukan diterbitkan oleh mereka, sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

SKMM menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.