Berita palsu harga bahan api, elektrik akan dibanteras

Berita palsu harga bahan api, elektrik akan dibanteras

Perdana menteri berkata, maklumat salah mengenai harga bahan api, elektrik boleh jejas keyakinan awam serta kestabilan ekonomi.

Anwar Ibrahim
PM Anwar Ibrahim berkata, SKMM kesan 96 kes berita palsu mengenai harga bahan api dan elektrik di media sosial.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berhubung harga bahan api dan elektrik di tengah-tengah lonjakan harga tenaga akibat konflik Asia Barat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam perutusan khas, Anwar berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan 96 kes berita palsu mengenai harga bahan api dan elektrik di media sosial, memberi amaran bahawa maklumat sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dengan mudah.

Penyebaran maklumat palsu berhubung isu-isu ini, katanya, umpama cubaan menggugat kestabilan negara dan ‘memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan’.

Anwar berkata, polis dan SKMM telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menularkan maklumat salah itu, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keyakinan awam dan kestabilan ekonomi.

Beliau turut mempersoalkan niat di sebalik penyebaran kandungan terbabit, yang disifatkan boleh memburukkan lagi kebimbangan rakyat pada waktu ketidaktentuan global ini.

“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan kerenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat,” katanya.

“Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan negara lain tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan kepada rakyat dengan memperhebahkan cerita palsu.”

Awal hari ini, SKMM berkata, pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu di media sosial berhubung tarif elektrik didakwa naik.

Dalam kenyataan, agensi itu memaklumkan, hantaran palsu itu menyalahgunakan grafik dan kandungan rasmi Astro Awani, serta ditularkan di platform Facebook, Threads dan WhatsApp.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan dengan itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan mengelak daripada memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh mengancam keharmonian sosial mahupun ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.