Azmin serah nama exco pada Sultan Selangor ahad ini

Azmin serah nama exco pada Sultan Selangor ahad ini

Menteri besar Selangor berkata pihaknya berjumpa dengan semua wakil PH pagi tadi membincangkan mengenai calon yang layak.

Free Malaysia Today
MB Selangor Azmin Ali berkata 10 portfolio exco sebelum ini dijangka tidak mengalami perubahan besar.
KLANG:
Pemilihan calon exco kerajaan negeri Selangor sedang dibincangkan dengan wakil 4 parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan senarainya dijangka dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ahad ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya berjumpa dengan semua wakil parti gabungan PH pagi tadi dan perbincangan mengenai calon yang layak dipilih sebagai exco itu akan bersambung esok.

Katanya, 10 portfolio exco kerajaan negeri sebelum ini dijangka tidak mengalami perubahan besar dan akan dikekalkan pada penggal baharu ini dan pembahagiannya kepada setiap parti gabungan PH mungkin berdasarkan kepada jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya akan menghadap Sultan Sharafuddin sekali lagi pada Ahad ini bagi mempersembahkan senarai calon exco untuk diteliti pihak tuanku sebelum mereka mengangkat sumpah jawatan pada Isnin ini.

“Tuanku ada menitahkan calon exco kali ini mesti mempunyai kelayakan baik dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kriteria ini akan diambil kira dalam pertimbangan pemilihan exco baharu,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal ke-2 di Istana Alam Shah hari ini.

Ketika ditanya sama ada exco PH sebelum ini akan dikekalkan jawatan mereka untuk penggal baharu, Azmin berkata ia bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan parti gabungan PH untuk memutuskannya dan senarai yang dikemukakan dalam perbincangan esok akan diteliti terlebih dahulu.

Pengerusi PH Selangor itu berkata tiada jawatan timbalan menteri besar akan diwujudkan di negeri ini susulan titah Sultan Sharafuddin kepada beliau.

Mengulas mengenai PRU14, Azmin berpendapat kemenangan PH di Selangor untuk penggal ke-3 merupakan bukti tahap kepuasan hati rakyat terhadap perkhidmatan terbaik yang diberikan exco dan wakil rakyat sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata selepas terbentuknya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Isnin depan, persidangan pertama akan diadakan pada Rabu bagi membincangkan perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan negeri Selangor pada penggal ini.

“Antara perkara yang kerajaan negeri akan beri keutamaan terlebih dahulu adalah mengenai pengurusan kewangan dan ekonomi untuk lebih baik bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa ini.

“Selain itu, kami juga akan melunaskan janji PRU14 pakatan untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mampu memberikan kesan positif kepada rakyat.

“Saya turut yakin kerajaan pusat yang ditadbir PH dapat mewujudkan hubungan utuh dengan kerajaan negeri,” katanya.

Azmin berkata dengan terbentuknya MMKN baharu, beliau berharap kerajaan negeri dapat menjana pertumbuhan ekonomi lebih mapan menerusi kemasukan pelabur asing dan domestik pada masa depan demi membuka peluang kepada rakyat khususnya golongan millenial menguasai bidang kemahiran dan teknologi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.