Sultan Perak terima senarai exco hari ini

Sultan Perak terima senarai exco hari ini

MB Perak Ahmad Faizal Azumu berkata bilangan calon exco yang bakal dipersembahkan kepada Sultan Nazrin Shah telah diputuskan.

Free Malaysia Today
MB Perak Ahmad Faizal Azumu berkata exco yang boleh dilantik adalah 4 hingga 10 orang melibatkan semua parti PH. (Gambar Facebook)
IPOH:
Pakatan Harapan (PH) Perak akan mempersembahkan senarai nama calon exco kerajaan negeri kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mendapat persetujuan baginda, hari ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi PH negeri berkata bilangan calon exco yang bakal dipersembahkan kepada baginda juga telah diputuskan.

“Exco yang boleh dilantik seramai 10 orang dan minimum adalah 4 orang. Senarai telah ada dan senarai tersebut akan saya sembah kepada Sultan Perak.

“Tentunya ia melibatkan semua parti dalam PH, kami cuba lihat seberapa yang boleh mengikut komposisi tetapi terpulang kepada Sultan Perak untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan dan Ucapan Terima Kasih Kepada Rakyat Perak, malam tadi.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa selain disertai lebih 2,000 masyarakat sekitar Ipoh.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang menegaskan pihaknya akan membuat penilaian khusus kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk menyertai PPBM.

“Semua berhak isi borang permohonan tetapi mengisi borang permohonan tidak bermaksud diterima sebagai ahli PPBM. Kita akan lihat dan selidik lebih lanjut sebelum buat keputusan,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.