Pemimpin PH bantah polis serbu rumah Najib awal pagi

Pemimpin PH bantah polis serbu rumah Najib awal pagi

Nurul Izzah Anwar dan Khalid Samad berkongsi pengalaman diserbu polis di awal pagi.

Free Malaysia Today
Nurul Izzah meminta polis melakukan siasatan dengan mengutamakan prinsip keadilan dan secara berhikmah.
PETALING JAYA:
Tindakan polis menyerbu kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lewat malam tadi dibantah pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pernah menjadi mangsa serbuan di awal pagi dan meminta polis melakukan siasatan dengan mengutamakan prinsip keadilan dan secara berhikmah.

“Sebagai bekas mangsa serangan di awal pagi, saya harus tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan menggeledah mana-mana rumah pada masa yang tidak sesuai,” katanya di Twitter.

Izzah dipercayai merujuk kepada serbuan polis di rumahnya di Bukit Damansara pada 1998 untuk menahan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad turut bersetuju dengan pandangan Izzah.

“Perlu untuk lakukan siasatan tetapi tidak perlu untuk memalukan atau melanggar hak mereka seperti itu.

“Setelah siasatan selesai, dakwa. Tidak ada sebab untuk siasat hingga 4.00 pagi. Saya pernah sekali disiasat pada 2.30 pagi,” katanya.

Pada 2015, Khalid ditahan polis bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan pada 2.30 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sebelum dibebaskan pada petang.

Awal pagi tadi, peguam Datuk Seri Najib Razak mengesahkan polis merampas beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dari kediaman bekas perdana menteri itu di Taman Duta.

Bagaimanapun, Datuk Harpal Singh Grewal ketika ditemui sejurus keluar dari rumah Najib pada 4.20 pagi tadi berkata tiada sebarang dokumen diambil.

Pihaknya percaya barangan itu diambil bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Peguam sahkan rampas beg tangan, geledah kondo Najib

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.