

Setelah 2 bulan berlalu, ternyata kerajaan tidak akan dapat menunaikan semua perkara yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam masa 100 hari.
Ada perkara yang telah dilaksanakan, ada perkara yang terpaksa ditangguhkan, tetapi ada perkara yang sememangnya tidak boleh dilaksanakan.
Sebenarnya, kerajaan tidak perlu tunaikan semua kandungan manifesto PH kerana sifat sesuatu manifesto pilihan raya itu bukanlah satu janji mutlak yang wajib ditunaikan secara terperinci oleh pemenang pilihan raya umum.
Sememangnya sering disebut sesuatu manifesto pilihan raya merupakan janji yang mesti ditunaikan sebagai amanah pada rakyat.
Walaupun ia sering disifatkan sebagai janji oleh ahli politik untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai calon, tetapi pada asalnya dan hakikatnya manifesto bukanlah janji mutlak.
Istilah manifesto berasal daripada bahasa Itali yang bermaksud menyerlahkan atau menzahirkan niat sesuatu pihak. Perkataan ini mula timbul dalam bahasa Inggeris pada kurun ke-17.
Walaupun ia sering digunakan oleh gerakan-gerakan politik, tetapi istilah ini turut dipakai oleh kumpulan-kumpulan kesenian dan pendidikan.
Pada zaman ini, manifesto sering dikeluarkan parti, tetapi pada awalnya ia berbentuk perisytiharan sesuatu gerakan. Umpamanya Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 1776 yang merupakan manifesto. Jadi, ia merupakan dokumen untuk menyatakan hasrat yang dibutirkan secara umum.
Satu lagi dokumen bersejarah ialah Manifesto Komunis karangan Karl Marx dan Friedrich Engels yang mempunyai ramai pengikut, tetapi tidak dapat dilaksanakan parti-parti berkenaan walaupun mereka berjaya memerintah sebahagian besar dunia lebih separuh abad, tetapi akhirnya gerakan ini tumbang.
Ada pihak pula menamakan manifesto sebagai tawaran dan bukannya janji yang mengikat. Ini kerana manifesto parti politik yang menyertai pilihan raya umum dalam sistem demokrasi yang berfungsi secara berkesan, menghadapi perkara-perkara praktikal yang menjadikan manifesto itu sebagai garis panduan dan bukannya janji.
Bagi parti yang menjadi kerajaan sebelum pilihan raya umum, untuk mendapatkan maklumat daripada jentera perkhidmatan awam adalah mudah, maka mereka boleh merancang dan menggubal manifesto yang boleh dilaksanakan.
Tetapi, bagi pihak pembangkang, mereka tidak mendapat akses kepada maklumat seperti mana parti kerajaan.
Maka, tentulah dalam merancang dan menggubal manifesto, banyak kemungkinan ia tidak berasaskan maklumat dan fakta yang menjadikan ia boleh dilaksanakan, sebab itu butiran dalam manifesto wajar berbentuk umum dan tidak spesifik.
Cumanya, apa yang wajar dilakukan oleh parti yang memenangi pilihan raya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan semua kandungan manifesto itu.
Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara ketat dan membuta tuli, ia perlu dibuat dengan pertimbangan mendalam melalui maklumat serta fakta yang dapat diperolehi apabila memiliki kuasa.
Bagi negara-negara demokrasi yang biasa bertukar kerajaan, parti-parti bertanding mungkin sudah berpengalaman mentadbir dan boleh membuat pertimbangan sama ada cadangan-cadangan itu dapat dilakukan atau tidak.
Tetapi, bagi negara yang tidak pernah menukar kerajaan, parti pembangkang mungkin meletakkan apa saja dalam manifesto mereka bagi menarik sokongan rakyat, tanpa mengambil kira ia boleh dilaksanakan atau tidak, lebih-lebih lagi apabila kebarangkalian untuk mereka menang begitu jauh.
Inilah yang berlaku di Malaysia. Lebih 60 tahun, negara ini diperintah oleh satu pihak, iaitu Umno pada mulanya sebagai Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), maka sukar untuk penentangnya mendapat maklumat untuk menggubal manifesto yang boleh dilaksanakan sepenuhnya.
Ditambah pula, sebelum 9 Mei lalu, kebarangkalian BN dapat dikalahkan adalah kecil. Maka, apa yang penting bagi PH adalah memasukkan sebanyak mungkin perkara yang boleh menarik rakyat, ke dalam manifesto.
Mereka tidak begitu memikirkan bagaimana ia dapat dilaksanakan kelak kerana menubuhkan kerajaan masih sukar terjadi. Dalam keadaan ini, kecenderungan bagi PH adalah menyediakan butiran-butiran berbentuk populis dalam manifesto mereka.
Walaupun terdapat pemimpin PH yang mempunyai pengalaman dalam kerajaan persekutuan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi parti mereka hanya satu daripada 4 parti dalam PH.
Tentunya manifesto pakatan itu perlu menampung hasrat PKR, Amanah dan DAP yang mungkin tidak praktikal untuk dilaksanakan dengan serta-merta.
Bagi Dr Mahathir, fokus beliau dan partinya, PPBM sebelum pilihan raya ialah menjatuhkan rejim yang disifatkan kleptokrasi kerana skandal 1MDB.
Maka, itulah fokus utama walaupun terdapat banyak faktor lain yang membawa sokongan rakyat kepada PH, khususnya berhubung isu kos sara hidup.
Maka, keputusan pilihan raya itu mengejutkan. Apa yang dapat difahamkan oleh rakyat ialah manifesto itu adalah janji yang wajib ditunaikan kerajaan.
Sebaik saja menjadi perdana menteri, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat ketua setiausaha kementerian dengan serta-merta untuk memulakan pergerakan bagi pelaksanaan manifesto pilihan raya PH.
Tetapi, hakikatnya tidaklah semua rakyat mahukan setiap perkara dalam manifesto itu. Malah, tidak semua rakyat mahukan manifesto itu sendiri.
Majoriti rakyat yang mengundi PH memberi sokongan atas pelbagai faktor, dan bukan kerana perkara-perkara dalam manifesto itu semata-mata.
Malah, dipercayai ramai pengundi tidak menghiraukan manifesto itu, walaupun ada juga yang tertarik dengan perkara-perkara tertentu dalam manifesto itu, tetapi bukan semua butiran yang ada dalam dokumen itu.
Sebab itu kerajaan perlu menimbang secara wajar, butiran manifesto mana yang perlu dilaksanakan, disegerakan atau ditangguhkan, malah ada yang perlu digugurkan sama sekali.
Tentu ada saja pihak yang mengungkit tentang perkara-perkara dalam manifesto yang tidak ditunaikan, lebih-lebih lagi dari pihak pembangkang, iaitu kini BN yang mahu cari isu bagi mempertikaikan kredibiliti dan integriti PH.
Para pengundi BN tidak berhak mengungkit manifesto PH kerana mereka telah menolak PH, sementara para pengundi PH tentunya berhak menuntut supaya butiran-butiran dalam manifesto itu dapat dilaksanakan.
Sememangnya, kerajaan sepatutnya berusaha melaksanakan semua butiran dalam manifesto itu. Mereka tidak boleh mengabaikan atau memandang sepi manifesto itu. Pengabaian itu adalah suatu yang tidak bertanggungjawab, cumanya ia tidak wajib melaksanakan kesemuanya.
Namun begitu, keputusan untuk tidak melaksanakan sesuatu butiran manifesto mestilah atas sebab-sebab wajar yang tidak timbul semasa menggubal dokumen itu. Maknanya, ia bukanlah sengaja enggan melaksanakannya.
Dalam hal ini, kerajaan wajar bertanggungjawab memberi penjelasan kepada rakyat mengapa ia tidak menunaikan butiran sesuatu manifesto. Sama ada rakyat boleh terima atau tidak, itu soal lain. Tetapi, penjelasan mestilah sehampir mungkin mampu meyakinkan rakyat.
Melihat ada pelaksanaan manifesto, kerajaan berada dalam ruang sebagai pihak yang bertanggungjawab. Sememangnya kerajaan bertanggungjawab melaksanakan kesemua butiran dalam manifesto, tetapi pada waktu sama, pertimbangan adalah pada manfaat dan mudarat.
Jika sesuatu tindakannya itu memudaratkan, maka adalah tanggungjawab tidak melakukannya, walaupun perkara itu terkandung dalam manifesto.
Masyarakat demokratik adalah sesuatu yang cair dan bukanlah berkeadaan beku. Demokrasi mempunyai dinamika tersendiri yang dibentuk oleh rakyat yang tentulah tidak seragam dan saling bertentangan di antara satu sama lain.
Sifat ikhlas dalam konteks etika demokrasi di kalangan ahli politik dan rakyat umum boleh memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Ia menuntut kepala yang dingin dan hati yang tenang supaya emosi tidak menjejaskan amalan demokrasi.
Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.