Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 82 tahun

Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 82 tahun

Pemergiannya disahkan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Ling Liong Sik dianggap antara figura penting dalam politik Malaysia dan pernah memegang jawatan presiden MCA serta menteri pengangkutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Presiden MCA dan menteri pengangkutan Ling Liong Sik meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

Pemergian tokoh itu disahkan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong, menurut laporan Bernama.

Ling yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dianggap antara figura penting dalam politik Malaysia, khususnya dalam MCA dan Barisan Nasional (BN), sepanjang lebih dua dekad perkhidmatannya.

Ling menjadi presiden MCA pada 1986 dan memegang jawatan itu sehingga 2003.

Dalam tempoh itu, beliau turut dilantik sebagai menteri pengangkutan, jawatan dipegangnya selama kira-kira 17 tahun.

Beliau juga pernah memegang jawatan timbalan menteri penerangan, timbalan menteri kewangan dan timbalan menteri pendidikan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam satu hantaran Facebook mengucapkan takziah kepada Ong Ee Nah dan seluruh keluarga Ling .

“Sepanjang hayat beliau, mendiang telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara, termasuk ketika berkhidmat sebagai timbalan menteri Penerangan dari 1976 hingga 1982.

“Dedikasi, kepimpinan dan komitmen beliau dalam kerajaan akan sentiasa dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Ling dilahirkan pada 13 Sept 1943 di Kuala Kangsar, Perak dan mendapat pendidikan awal di King Edward VII School, Taiping sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) daripada University of Singapore pada 1966.

Memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Pulau Pinang sebelum aktif dalam politik dengan menyertai MCA pada 1968, Ling mendirikan rumah tangga dengan Ong serta dikurniakan dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Mendiang pernah menjadi Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 serta Ahli Parlimen Labis selama empat penggal dari 1986 hingga 1999.

Sepanjang perkhidmatan sebagai menteri pengangkutan, Ling memainkan peranan penting dalam pemodenan pelabuhan negara termasuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan global sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Beliau turut menyumbang kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebagai pintu masuk utama negara.

Selain itu, mendiang turut aktif dalam bidang pendidikan dan korporat termasuk sebagai Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Pengerusi Kolej Tunku Abdul Rahman.

Pada 2004, beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.