BN, GPS dan GRS ulang komitmen sokong PM hingga tamat penggal, kata Fahmi

BN, GPS dan GRS ulang komitmen sokong PM hingga tamat penggal, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan berkata Anwar Ibrahim nyata penghargaan kepada semua gabungan itu atas komitmen mereka.

fahmi fadzil
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata komitmen gabungan dalam kerajaan perpaduan itu mencerminkan keutamaan diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi komitmen untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata perdana menteri juga menyatakan penghargaan kepada semua gabungan itu atas komitmen mereka.

“Komitmen ini mencerminkan keutamaan diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Ahad lalu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilaporkan memberi bayangan beliau mungkin memanggil PRU lebih awal sekiranya kerjasama dalam kerajaan perpaduan terus digugat.

Anwar, berkata beliau akan bertemu pemimpin gabungan kerajaan bagi membincangkan perkara itu susulan pengumuman BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi pada PRN akan datang.

PH Johor kemudiannya turut mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi tersebut.

Hubungan PH dan BN turut diuji bulan lalu selepas 14 Adun Umno di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun daripada PKR susulan kontroversi membabitkan institusi diraja.

Bagaimanapun, Umno kemudian menegaskan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan politik.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata kerajaan akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berunding dengan media berhubung kebimbangan berkaitan privasi dalam pelaksanaan pengesahan umur pengguna media sosial bawah 16 tahun.

Beliau berkata penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad untuk pengesahan umur dan identiti sudah menjadi amalan biasa di Malaysia.

“Dari sudut dasar, kita sedar bahawa di negara kita hari ini, dokumen seperti MyKad dan lain-lain sudah digunakan untuk pengesahan, termasuk bagi penggunaan e-dompet.

“Justeru, dari sudut dasar, kita tidak melihat sebarang percanggahan untuk melaksanakan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi kerajaan apabila sektor lain di negara ini juga mengamalkan dasar yang sama,” katanya.

Fahmi turut berkata undang-undang perlindungan data peribadi akan diguna pakai dalam pengendalian maklumat tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.