MB N Sembilan tak tolak kemungkinan PRN tahun ini

MB N Sembilan tak tolak kemungkinan PRN tahun ini

Aminuddin Harun berkata, perkara itu masih dipertimbangkan, termasuk kemungkinan adakan PRN serentak dengan Melaka dan Johor.

aminuddin harun
Berhubung kemungkinan PH Negeri Sembilan gerak solo pada PRN tanpa kerjasama BN, Aminuddin Harun berkata, keputusan itu tertakluk pada pimpinan pusat. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan PRN diadakan pada tahun ini, namun perkara itu masih dipertimbangkan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, perkara yang turut diteliti ialah kemungkinan mengadakan PRN secara serentak dengan Melaka dan Johor.

“Kemungkinan itu ada … dalam parti politik ini, mungkin tahun ini atau tahun depan. InsyaAllah, kita tengok negeri jiran (Melaka dan Johor) bila pilihan raya (dan) mungkin kita sekalikan. Itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri.

Berhubung sidang DUN akan datang, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sedang meneliti tarikh sesuai memandangkan tempoh semasa DUN hanya berbaki sehingga 24 Okt.

“Jika tidak diadakan (sehingga tarikh itu) DUN akan terbubar dengan sendirinya,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya jika PH Negeri Sembilan akan bergerak solo tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) pada PRN itu, Aminuddin berkata, keputusan itu tertakluk pada pimpinan pusat.

Katanya, walaupun terdapat pandangan kuat supaya PH negeri bergerak solo, namun landskap politik semasa boleh berubah mengikut keadaan dan hubungan antara parti juga tidak mustahil untuk kembali terjalin pada masa depan.

Pada PRN ke-15, BN menang 14 kerusi, PH 17 kerusi dan Perikatan Nasional lima kerusi.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan beliau kini memangku portfolio exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi; Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup; serta Pendidikan susulan kekosongan jawatan exco melibatkan Adun BN.

Portfolio exco Pembangunan Belia dan Sukan pula dipangku Nicole Tan, portfolio exco Warisan dan Teknologi oleh Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim manakala exco Inovasi dan Digital oleh J Arul Kumar.

Sebelum ini, 14 Adun BN hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sehingga menyebabkan kekosongan empat jawatan Exco yang disandang parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.