Adun P Pinang terima ugutan bunuh

Adun P Pinang terima ugutan bunuh

Syerleena Abdul Rashid tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan fitnah kononnya beliau akan menyerang Jakim demi DAP.

Free Malaysia Today
Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis selepas menemui nota ugutan itu bersama timbunan surat di peti surat pusat khidmatnya.
GEORGE TOWN:
Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid menerima ugutan bunuh di pusat khidmatnya di Gelugor, petang semalam.

Syerleena, 38, berkata nota ugutan itu dijumpainya bersama timbunan surat di peti surat pusat khidmatnya itu pada 3.30 petang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong pada 7 malam hari sama.

Beliau tidak mengetahui motif nota itu dihantar dan tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan fitnah terhadapnya yang tular dalam Facebook sejak Mac tahun lepas, kononnya beliau akan menyerang institusi Islam terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) demi DAP.

Walaupun menyangkal fitnah itu, ia mula timbul semula pada April lepas sebelum pilihan raya umum ke-14, katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata ini adalah pertama kali beliau menerima ugutan sedemikian dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan kes disiasat menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar dan suspek yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.