
Kumpulan itu berkata, undang-undang seperti Akta Hasutan, Anti Berita Tidak Benar dan “beberapa yang lain” perlu dimansuhkan, dan sesetegahnya dipinda kerana ia mempunyai “beberapa seksyen yang bermasalah” yang melanggar hak asasi manusia.
Gesaan Global Bersih dibuat berikutan bantahan awam terhadap tindakan polis ke atas ahli politik dan aktivis seperti peguam Fadiah Nadwa Fikri yang dikatakan menulis artikel di sebuah laman blog yang didakwa mempersoalkan institusi Raja-raja. Fadiah merupakan bekas penyelaras Global Bersih Malaysia.
Global Bersih berkata, siasatan polis di bawah undang-undang hasutan dan internet merupakan perbuatan mengganggu.
Kumpulan itu menuntut “perubahan segera” dan mendesak kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memenuhi janji PH sebaik sahaja Parlimen bersidang minggu depan.
“Sudah tiba masa Malaysia menjadi matang sebagai sebuah demokrasi tulen dan memimpin rantau Asean ke arah itu,” katanya dalam satu kenyataan dari ibu pejabat pertubuhan itu di Switzerland hari ini.
Fadiah juga disoal-siasat oleh poliskerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di luar sebuah balai polis ketika beliau disoal-siasat pada 10 Julai lepas.
Ahli Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan juga menghadapi tindakan polis berkait perhimpunan kira-kira 50 orang di hadapan pejabat perdana menteri pada 11 Jun lalu kerana membantah pemecatan kakitangan Bank Negara Malaysia, Y Kohila.