
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu ditahan di Taman Saujana, Johor Bahru, awal pagi tadi.
“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun ‘ratunurputribalqis’ didakwa mengandungi kenyataan fitnah terbabit, Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurutnya, antara kandungan dalam hantaran itu ialah dakwaan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor serta perdana menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.
Selain itu, kandungan terbabit turut mendakwa kononnya Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun itu bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.
Turut terkandung, tuduhan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri Johor kononnya terlibat dalam salah laku dan rasuah serta menyatakan solat fardu akan kembali kepada dua rakaat dan solat sunat satu rakaat.
Ab Rahaman berkata, kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan menunjukkan keputusan negatif.
Katanya, pihaknya turut melakukan beberapa rampasan untuk siasatan dan Mahkamah Majistret membenarkan mereka direman empat hari hingga Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, serta Seksyen 298 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat dalam kenyataan berasingan berkata, antara barangan dirampas termasuk jaket, telefon bimbit, cermin mata, cincin, rantai, gelang tangan, meja, al-Quran, skrip, surat dan aksesori berkaitan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan enakmen sedia ada di Johor akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan ajaran sesat.
Perkara itu susulan tersebarnya di media sosial beberapa klip video yang didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan, antaranya memaparkan individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.