Dakwaan lulus kewarganegaraan rakyat China fitnah, kata Saifuddin

Dakwaan lulus kewarganegaraan rakyat China fitnah, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata poster berunsur fitnah dan berbaur 3R muncul dan tular sekali lagi selepas penafian mengenai isu sama pada Mac tahun lalu. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dakwaan beliau memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati adalah fitnah dan berniat jahat yang sengaja dimainkan untuk membakar sentimen rakyat serta mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, proses kelulusan permohonan kewarganegaraan tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan ketat dan tidak dibuat sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.

“Sepanjang saya memegang jawatan menteri dalam negeri, saya telah menjelaskan fakta ini beserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan sesi bertemu media.

“Namun, poster berunsur fitnah dan berbaur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) ini muncul dan tular sekali lagi selepas penafian saya mengenai isu sama pada Mac tahun lepas,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber sahih.

Saifuddin berkata, penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

“Saya menyeru pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu ini menghentikan segera tindakan tidak bermoral itu dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan Madani mendepani cabaran semasa termasuk isu krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rakyat serta negara,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara.

“Ini bukan masa untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda tidak berasas semasa rakyat sedang berhadapan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.