Pinda akta sedia ada cegah ucapan kebencian, kata bekas presiden Badan Peguam

Pinda akta sedia ada cegah ucapan kebencian, kata bekas presiden Badan Peguam

Salim Bashir berkata tiada keperluan untuk kerangka akta baharu, tetapi undang-undang seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih agak kabur dalam bentuk semasa.

Salim Bashir
Bekas presiden Badan Peguam Salim Bashir berkata Parlimen perlu meminda dan memperjelaskan peruntukan ucapan kebencian dalam undang-undang tertentu.
PETALING JAYA:
Seorang bekas presiden Badan Peguam menolak gesaan mewujudkan kerangka undang-undang baharu bagi menangani ucapan berunsur kebencian atas alasan meminda undang-undang sedia ada lebih berkesan.

Salim Bashir berkata, undang-undang seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menangani ucapan kebencian masih agak kabur dalam bentuk semasa.

“Parlimen perlu meminda dan memperjelaskan peruntukan ucapan kebencian dalam undang-undang tertentu untuk mengimbanginya dengan hak Perlembagaan bagi kebebasan bersuara,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ucapan berunsur hasutan perlu ditakrifkan sebagai ungkapan kebencian terhadap seseorang atau kumpulan, khasnya apabila komunikasi itu berpotensi mencetuskan keganasan, kekacauan atau kemudaratan psikologi.

“Niat untuk menyebabkan kemudaratan atau keganasan perlu jelas, bukan sekadar kebetulan,” katanya sambil menambah bukti perlu menunjukkan kata-kata dikeluarkan itu memang bertujuan mendatangkan kemudaratan atau gangguan, dinilai berdasarkan piawaian individu yang munasabah dan berfikiran tegas.

Salim berkata, ungkapan berniat jahat merujuk bahasa menyinggung yang digunakan untuk menimbulkan kebencian berdasarkan kaum, latar belakang agama atau stereotaip, dengan niat menyebabkan kemudaratan atau keganasan tidak dapat dipulihkan.

“Niat boleh disimpul berdasarkan tingkah laku dan motif, tetapi undang-undang yang mengawal ucapan kebencian perlu ditakrifkan dengan jelas tanpa kekaburan untuk mengelakkan penguatkuasaan sewenang-wenangnya.”

Bulan lalu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menggesa satu takrif rasmi dan kerangka khusus diwujudkan bagi ucapan kebencian untuk mengelakkan tafsiran terlalu luas kerana pandangan berbeza kadangkala ditangani secara “terburu-buru, keras serta zalim”.

Pengerusi Suhakam, Hishamudin Yunus, berkata Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara jelas sekatan berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja.

Katanya, sekatan luas dan tidak jelas itu disalah tafsir seolah-olah orang ramai tidak boleh membincangkan isu itu langsung, sekali gus mewujudkan kesan dingin terhadap wacana kritikal.

“Larangan sedemikian melanggar kebebasan bersuara,” katanya sambil menambah pindaan Perlembagaan “bukan kebimbangan utama”.

Beliau berkata, sebarang takrif ucapan kebencian perlu melindungi perbincangan, kritikan dan debat awam sah, selain mencegah ucapan yang menghasut keganasan, diskriminasi atau kebencian.

Beliau menggesa kerajaan menyelaras undang-undang Malaysia dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, dan berwaspada dalam menggunakan undang-undang jenayah terhadap individu menyuarakan pendapat dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.