Malaysia perlu takrif rasmi ucapan kebencian, kata Saifuddin

Malaysia perlu takrif rasmi ucapan kebencian, kata Saifuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota kata ketiadaan taktif rasmi buka ruang tafsiran terlalu luas dan penguatkuasaan tidak konsisten.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah menegaskan garis panduan jelas perlu untuk membezakan ucapan kebencian dan kritikan.
PETALING JAYA:
Malaysia memerlukan takrif rasmi bagi ucapan kebencian untuk mengelakkan tafsiran terlalu luas dan penguatkuasaan tidak konsisten, kata Ahli Parlimen Saifuddin Abdullah.

Wakil rakyat Indera Mahkota itu berkata mutakhir ini sering wujud ucapan yang jelas kelihatan seperti ucapan kebencian, tetapi tidak ditangani dengan segera, tegas dan adil.

Menurut bekas menteri luar lagi, ada juga pandangan berbeza atau kritikan diambil tindakan dengan terburu-buru, keras serta zalim.

Katanya lagi, takrif isu agama, raja dan kaum (3R) tidak jelas.

“Tanpa takrifan tepat tentang ucapan kebencian, ia memberi ruang kepada tafsiran yang luas.

“Ini termasuk peruntukan beberapa undang-undang yang mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan terhadap ucapan kebencian,” kata ahli Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (APPGM-Harmoni) ini.

Saifuddin berkata demikian di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Bagi merungkai masalah itu, Saifuddin berkata APPGM yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mengadakan Meja Bulat Takrifan dan Piawaian Ucapan Kebencian di Kuala Lumpur pada 14 April.

“Objektif persidangan ialah menyediakan satu takrifan rasmi bagi ucapan kebencian, mencadangkan satu rangka piawaian bagi menentukan ambang sesuatu ucapan atau kenyataan boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah.

“Dan menyediakan contoh ilustratif bagi membezakan antara ucapan yang tergolong sebagai ucapan kebencian serta ucapan sebaliknya,” katanya.

Katanya, persidangan itu membincangkan takrif ucapan kebencian, prinsip penentuan takrif, keselarasan undang-undang dan cara penggunaan takrif terbabit sebagai dokumen panduan.

“Perkara-perkara ini akan diteliti lagi dalam beberapa perbincangan dan diharap dapat disiapkan untuk diangkat ke Parlimen pada hujung tahun ini,” katanya.

Malaysia ketika ini tidak mempunyai takrif khusus dan menyeluruh mengenai ucapan kebencian, manakala penguatkuasaan banyak bergantung pada undang-undang seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan.

Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos 2025 membatalkan perkataan ‘menghina’ (offensive) dan ‘menjengkelkan’ (annoy) dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung kesalahan bagi penghantaran komen dalam talian.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati perkataan terbabit dalam seksyen itu tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan yang dibaca bersama Perkara 8.

Namun Mahkamah Persekutuan pada 6 Feb lalu membatalkan keputusan itu dan mengekalkan peruntukan berkenaan sebagai sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.