Obses jadi PM halang perpaduan Melayu-Islam, kata Saifuddin

Obses jadi PM halang perpaduan Melayu-Islam, kata Saifuddin

Saifuddin Abdullah berkata sikap terlalu ghairah mengejar jawatan tertinggi hanya akan merosakkan asas kesatuan.

Saifuddin Abdullah
Perpaduan Melayu-Islam perlu dipimpin barisan kepimpinan baharu yang berwibawa dan dihormati majoriti pemimpin Melayu merentasi pelbagai sektor, menurut Saifuddin Abdullah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah mengingatkan obsesi individu untuk menjadi perdana menteri boleh menggagalkan usaha membina perpaduan Melayu-Islam.

Beliau berkata, kepentingan negara perlu mengatasi parti dan peribadi, sambil menegaskan sikap terlalu ghairah mengejar jawatan tertinggi hanya akan merosakkan asas kesatuan.

“Peribadi tidak boleh obses hendak menjadi perdana menteri atau ketua,” katanya yang turut menekankan perjuangan menegakkan makruf dan mencegah mungkar dalam menyatupadukan masyaraat Melayu-Islam.

Bekas menteri luar negeri itu berkata demikian dalam tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Saifuddin berkata, usaha membina perpaduan Melayu-Islam juga harus bersandarkan budaya politik baharu iaitu politik ilmu, hikmah, bakti, pelbagai kaum, moderat, sederhana dan progresif.

Katanya, perpaduan itu juga perlu dipimpin barisan kepimpinan baharu yang berwibawa dan dihormati majoriti pemimpin Melayu merentasi pelbagai sektor, termasuk politik, perniagaan, akademia dan perkhidmatan awam.

“Bukannya diketuai seseorang yang tidak dihormati majoriti pimpinan Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata agenda perpaduan Melayu dan Islam turut ditekankan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 anjuran kerajaan Terengganu, minggu lalu.

Menurutnya, Hamzah dalam pidato perdana telah menyampaikan mesej jelas dan praktikal iaitu penyatuan Melayu menjadi teras kestabilan nasional.

“Hamzah menggunakan analogi penyatuan Melayu sebagai pohon besar berakar pada sejarah, berbatang pada kekuatan politik dan berdaun pada perpaduan sosial; manakala buahnya adalah kemakmuran, kestabilan dan keadilan dinikmati bersama.

“Apabila pohon itu rendang, ia bukan sahaja melindungi Melayu, tetapi memberi teduhan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum. Sebab itu Hamzah mengatakan orang bukan-Melayu jangan khuatir dengan penyatuan Melayu kerana sejarah telah membuktikan kemurnian hati orang Melayu,” katanya.

“Lebih jauh dari itu, Hamzah melihat penyatuan ini dari sudut geopolitik Nusantara, iaitu kekuatan Melayu di Malaysia mampu menjadi inspirasi dan dokongan kepada umat Melayu serantau.”

Saifuddin berkata, perpaduan itu juga bukan berkait kelangsungan politik atau soal kaum majoriti yang terperangkap dalam aksi ketuanan atau reaksi minda terkepung semata-mata.

“Sebaliknya, soal kaum majoriti yang dengan bijaksana dan inklusif ingin membangun konfigurasi politik dan seluruh spektrum kehidupan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.