Kamu yang ‘menyimpang’ demi kuasa, veteran Umno bidas Dr M

Kamu yang ‘menyimpang’ demi kuasa, veteran Umno bidas Dr M

Setiausaha Mustapha Yaakub dakwa serangan berterusan Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno berpunca keengganan Zahid Hamidi membubarkan parti seperti dimahukan.

Mustapha Yaakub n Mahathir Mohamad
Setiausaha Veteran Mustapha Yaakub mempersoalkan apakah Umno tidak tersasar ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden parti itu.
PETALING JAYA:
Veteran Umno menyifatkan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu sudah ‘tersasar’ sebagai melucukan dan membidas bekas perdana menteri itu sendiri yang menyimpang demi kepentingan kuasa.

Setiausaha Mustapha Yaakub berkata, Umno kekal sebagai wadah politik orang Melayu yang berlandaskan perlembagaan dan peraturan jelas sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

“Yang tersasar dan menyasar ialah pemimpin seperti Tun M. Kerana mahukan kuasa, beliau telah mengharamkan Umno sehingga lahir Semangat 46.

“Kerana takutkan Anwar (Ibrahim), beliau pecat Anwar dan lahirlah PKR. Kerana hendak jatuhkan Barisan Nasional (BN), beliau tubuh Bersatu. Jadi siapa yang tersasar?” katanya kepada FMT.

Mustapha mendakwa, serangan berterusan Mahathir terhadap Umno ketika ini berpunca daripada keengganan Presiden Zahid Hamidi membubarkan parti itu seperti dimahukannya.

“Apakah Umno tidak tersasar ketika beliau menjadi presiden? Bagi beliau, biar bergunung pun kebaikan pemimpin lain, beliau tetap merasakan dialah yang terbaik. Sesiapa pun yang memimpin Umno selepas beliau semuanya salah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berpendapat Mahathir sebenarnya ‘pemimpin yang gagal’ kerana tidak mampu melahirkan barisan pelapis berwibawa walaupun menerajui parti selama 22 tahun.

Katanya, segala pencapaian Mahathir semasa menjadi perdana menteri adalah hasil kekuatan organisasi dan sokongan padu ahli Umno bukannya atas kapasiti individu semata-mata.

“Mahathir tidak boleh menganggap Umno itu dia punya. Beliau gagal mencipta naratif perjuangan lebih gagah dan gagal melahirkan pemimpin hebat daripada organisasi yang beliau sendiri jaga,” katanya.

Razlan turut mempersoalkan sumbangan Bersatu ditubuhkan Mahathir, dengan mendakwa parti itu tidak mempunyai rekod jasa yang kukuh berbanding Umno banyak menyumbang melalui institusi seperti Felda, Mara dan Tabung Haji.

Terdahulu, Mahathir menolak dakwaan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu dengan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dilihat terus menyalahkan Umno kerana didakwa menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Menurut Mahathir, keputusan beliau keluar Umno dan menubuhkan Bersatu bukan untuk memecah-belahkan orang Melayu, tetapi bagi menyediakan wadah alternatif kepada mereka yang kecewa dengan parti itu bawah kepimpinan Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.