
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, terkejut dengan dakwaan DAP menggunakan jawatan dalam GLC sebagai alat ‘jual beli’ politik.
“Kita cabar DAP dedahkan YB (wakil rakyat) dan pemimpin DAP yang bukan YB, tetapi pegang jawatan dalam GLC pusat dan negeri,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau berkata, DAP sering mengkritik parti lain membuat pelantikan politik dalam GLC atas alasan amalan itu tidak beretika, tidak profesional dan bercanggah prinsip reformis.
“Tapi DAP lagi teruk. Tawaran dibuat sebelum menang pilihan raya. Lainlah sikit jika dilantik selepas pilihan raya untuk mengiktiraf kedudukannya sebagai YB kerana tidak dilantik exco atau menteri,” kata Adun Rengit itu.
Semalam, sepucuk surat tersebar di media sosial mendakwa DAP Johor bercadang memindah Marina untuk bertanding di DUN Tiram, kubu kuat Umno, pada PRN akan datang.
Tawaran itu dibuat dalam perbincangan antara Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Marina pada 17 Mei lalu, menurut surat yang ditujukan kepada Teo daripada Adun Skudai terbabit.
FMT telah menghubungi Marina untuk mengulas kesahihan surat itu, di mana beliau turut menolak cadangan tawaran dilantik sebagai pengerusi sebuah badan berkanun.
Terdahulu, Teo dalam kenyataan mendedahkan DAP mencadangkan Marina bertanding di kerusi bandar pada PRN Johor akan datang.
Katanya, beliau berhasrat mencadangkan Marina dilantik mengetuai sebuah badan berkanun, tanpa mengira keputusan PRN.
Kenyataan itu menyusul pengumuman mengejut Marina semalam untuk bersara daripada politik dan tidak akan mempertahankan kerusi Skudai pada PRN Johor.