
Dalam wawancara sempena ulang tahun BN ke-52 hari ini, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir menegaskan gabungan itu tidak boleh bergantung kepada sejarah semata-mata.
Beliau turut menolak dakwaan wujud isu pengkhianatan terhadap kerajaan perpaduan dan mengulas kepimpinan Pengerusi BN Zahid Hamidi yang mengetuai gabungan itu selepas kekalahan PRU14.
Berikut wawancara penuh temu bual dengan Zambry yang juga menteri pendidikan tinggi.
Soalan: Barisan Nasional kini memasuki usia 52 tahun. Apakah makna ulang tahun ini kepada BN?
Zambry: 52 tahun bukan sekadar angka usia. Ia adalah perjalanan panjang yang sarat dengan pengalaman, pengorbanan, kejayaan, jatuh bangun, cabaran dan pengajaran. Sepanjang tempoh itu, BN telah membantu membina asas pembangunan negara, mengharungi pelbagai krisis, menghadapi perubahan politik yang besar, mengalami kekalahan yang memberi pengajaran mendalam dan seterusnya bangkit semula dengan semangat pembaharuan.
Kami tidak melihat ulang tahun ini semata-mata sebagai suatu pencapaian. Sebaliknya ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh rasa rendah diri.
Hakikatnya sejarah BN jauh lebih panjang daripada usia 52 tahun. Akar perjuangannya bermula melalui Parti Perikatan yang ditubuhkan pada tahun 1952 dan kemudiannya memimpin negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Daripada Perikatan lahirlah sebuah model kerjasama politik yang berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam sebuah negara yang aman dan stabil. Apabila BN dibentuk pada tahun 1974, semangat itu diteruskan dan diperluaskan dengan menghimpunkan lebih banyak parti, wilayah dan kelompok masyarakat dalam satu kerangka kerjasama nasional.
Sebab itu apabila kita bercakap tentang BN hari ini, kita bukan hanya bercakap tentang sebuah gabungan politik, tetapi sebuah tradisi politik yang telah berkhidmat kepada rakyat lebih tujuh dekad.
Dalam dunia yang semakin dipenuhi polarisasi dan perpecahan, saya percaya prinsip-prinsip yang menjadi asas perjuangan BN seperti kesederhanaan, muafakat, perkongsian kuasa, toleransi dan kestabilan masih mempunyai tempat yang penting dalam kehidupan bernegara. Ulang tahun ini bukan sekadar mengimbau masa lalu.
Ia adalah kesempatan untuk memperbaharui tekad bahawa perjuangan BN mesti terus bergerak ke hadapan, memahami tuntutan zaman dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Soalan: Ramai tertanya-tanya apakah rahsia BN masih bertahan selepas 52 tahun?
Zambry: Saya fikir rahsianya sederhana dan centrist party, seimbang. BN tidak dibina atas kebencian terhadap pihak lain. BN dibina atas kesediaan untuk bekerjasama walaupun berbeza pandangan. Sejak awal, kekuatan BN bukan terletak pada kemampuan mencipta musuh, tetapi pada kemampuan mencari titik persamaan dalam kalangan rakyat yang berbeza latar belakang, budaya dan pegangan politik.
Dalam politik, ramai yang boleh menang pilihan raya. Tetapi, tidak semua mampu mengurus kepelbagaian dan menyatukan sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia. Dalam hal ini, BN terus belajar memperkemas parti untuk rakyat Malaysia.
Sepanjang sejarahnya, BN sentiasa percaya bahawa kestabilan lahir daripada persefahaman, bukan permusuhan. Sebab itu walaupun berdepan pelbagai ujian, asas perjuangan tersebut masih membolehkan BN terus bertahan sehingga hari ini meskipun pelbagai cabaran dihadapinya, termasuk hilang kuasa.
Mungkin pendekatan politik berubah mengikut zaman, tetapi keperluan kepada kestabilan, kesederhanaan dan kerjasama akan sentiasa relevan dan tetap menjadi kompas BN.
Soalan: Ada pihak mengatakan BN tidak relevan lagi?
Zambry: Saya tidak boleh menghalang pandangan tersebut kerana kita berada dalam lingkungan politik demokrasi. Dalam demokrasi, setiap parti politik akan dinilai oleh rakyat dan tiada
siapa yang boleh menganggap sokongan rakyat sebagai sesuatu yang kekal.
Justeru, yang pesimis dan anti akan mengatakan BN sudah tidak relevan. BN juga pernah menerima mesej yang jelas daripada rakyat. Kami pernah kalah dan kami belajar daripada pengalaman itu.
Kami menerima hakikat itu tanpa mewujudkan huru-hara ketika proses transisi berlaku pada tahun 2018. Namun pada saya, relevan bukan bermaksud tidak pernah melakukan kesilapan.
Relevan bermaksud mempunyai kemampuan untuk belajar, berubah dan terus menyumbang kepada rakyat serta negara. Malaysia hari ini masih berdepan cabaran yang sama pentingnya seperti dahulu; bagaimana mengurus kepelbagaian, mengekalkan kestabilan politik, membina ekonomi yang kukuh dan memastikan semua rakyat mendapat peluang yang adil.
Dalam menghadapi cabaran tersebut, saya percaya pengalaman yang dimiliki BN masih mempunyai nilai yang boleh dimanfaatkan untuk negara. Justeru, kami tidak meminta rakyat menerima BN atas dasar sejarah semata-mata.
Kami mahu dinilai berdasarkan apa yang mampu kami lakukan untuk masa depan Malaysia dengan berasaskan iltizam untuk membetulkan kekurangan dan menggerakkan kemajuan.
Soalan: Bagaimana kerjasama gabungan parti komponen BN hari ini?
Zambry: Saya melihat BN hari ini sebagai sebuah gabungan yang terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa. Keberadaan PPP sebagai parti komponen terkini dan ditunjangi Umno, MCA, MIC dan PBRS serta pengukuhan Friends of Barisan Nasional menunjukkan bahawa masih ramai yang melihat BN sebagai platform kesederhanaan, inklusif dan stabil untuk berkhidmat kepada rakyat.
Politik hari ini memerlukan pendekatan yang lebih terbuka. Sebuah gabungan politik tidak lagi boleh bergantung kepada struktur tradisional semata-mata, tetapi perlu membuka ruang kepada golongan profesional, anak muda, NGO dan masyarakat sivil untuk turut menyumbang idea dan kepakaran. Apa yang paling penting ialah budaya yang telah lama menjadi kekuatan BN, iaitu budaya musyawarah.
Namun, beberapa perubahan perlembagaan perlu juga dilihat untuk menjadikan BN lebih kemas kini dengan proses membuat keputusan yang tuntas. Perbezaan pandangan sentiasa wujud dalam mana-mana gabungan besar.
Tetapi, perbezaan itu tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan. Sebaliknya ia perlu diurus melalui perbincangan yang matang dan kesediaan mencari titik persetujuan. Dalam suasana politik yang semakin terpolarisasi, budaya inilah yang saya fikir menjadi salah satu kekuatan utama BN.
Soalan: Bagaimana BN melihat peranannya dalam kerajaan perpaduan?
Zambry: BN melihat penyertaan dalam kerajaan perpaduan sebagai satu tanggungjawab kepada negara. Ketika negara berdepan kebuntuan politik selepas PRU15, keutamaan kami ialah memastikan kestabilan negara dapat dipulihkan dan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan.
Sudah tentu keputusan tersebut bukan keputusan yang mudah. Tetapi kepimpinan memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang betul walaupun tidak semestinya popular. BN sentiasa percaya bahawa kestabilan politik adalah syarat penting kepada pertumbuhan ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, fokus kami bukan soal siapa mendapat pujian atau kredit. Fokus kami ialah memastikan dasar-dasar yang baik dapat dilaksanakan dan rakyat memperoleh manfaat daripadanya.
BN mungkin tidak lagi mendominasi kerajaan seperti dahulu, tetapi pengalaman mentadbir yang dimiliki membolehkan kami memainkan peranan sebagai faktor penstabil dan jambatan yang menghubungkan pelbagai pihak demi kepentingan negara. Jadi soal pengkhianatan kami terhadap kerajaan yang ada tidak timbul sama sekali.
Soalan: Bagaimana kepimpinan Zahid Hamidi dilihat dalam mempertahankan BN selepas 2018?
Zambry: Saya percaya sejarah akan menilai peranan Zahid Hamidi dengan lebih adil dan objektif. Selepas PRU14, ramai meramalkan BN dan Umno akan berkubur. Tekanan dihadapi ketika itu sangat besar. Ramai yang meragui masa depan parti. Ada detik getir berlaku apabila beliau diminta untuk menutup Umno oleh orang yang berkuasa ketika itu. Dalam keadaan itu, beliau memilih untuk mempertahankan parti dan memastikan perjuangan ini diteruskan.
Kemudian beliau berdepan pelbagai cabaran politik dan peribadi yang amat berat, namun tetap meneruskan tanggungjawab memimpin parti dalam tempoh yang sangat sukar. Hari ini BN masih wujud, masih bersatu dan masih memainkan peranan penting dalam politik negara.
Itu bukan berlaku secara kebetulan. Saya percaya ketenangan, kesabaran dan keupayaan beliau dan pemimpin-pemimpin dalam BN melihat jauh ke hadapan banyak membantu memastikan BN terus bertahan dan kembali memperkukuhkan kedudukannya.
Soalan: Apakah cabaran terbesar BN menjelang PRU16, khususnya menghadapi gelombang pengundi muda?
Zambry: Cabaran terbesar bukan sekadar memenangi pilihan raya. Cabaran terbesar ialah memenangi keyakinan rakyat setiap hari. Generasi muda hari ini mempunyai aspirasi yang berbeza. Mereka bercakap tentang kos sara hidup, pekerjaan berkualiti, pendidikan, teknologi, kecerdasan buatan, perumahan dan masa depan yang lebih terjamin.
Mereka tidak menilai parti politik berdasarkan sejarah semata-mata. Mereka mahu melihat idea, penyelesaian dan hasil yang nyata. Sekarang mereka dapat membuat perbandingan antara pelbagai kerajaan yang pernah dan sedang mentadbir negara. Sebab itu BN perlu sentiasa berubah dan menyesuaikan pendekatannya dengan realiti semasa.
Yang penting, anak muda tidak boleh hanya dilihat sebagai pengundi. Mereka perlu diberikan ruang untuk memimpin, mencorakkan dasar dan menentukan masa depan parti. Jika BN mahu terus relevan untuk 50 tahun akan datang, BN mesti menjadi wadah yang mampu memahami dan memperjuangkan aspirasi generasi masa depan Malaysia.
Soalan: Apakah mesej kepada seluruh ahli dan penyokong BN sempena ulang tahun ke-52 ini?
Zambry: Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli, penyokong dan jentera BN yang terus setia bersama perjuangan ini dalam apa jua keadaan. Sejarah BN bukan hanya tentang pemimpin atau institusi.
Sejarah BN ialah sejarah jutaan ahli akar umbi yang terus mempertahankan perjuangan ini di kampung, bandar, estet, Felda, pesawah, petani, nelayan, peniaga kecil dan sederhana, kontraktor-kontraktor kecil dan seluruh pelosok negara.
52 tahun mengajar kita bahawa kejayaan tidak kekal dan cabaran tidak pernah berakhir. Sebab itu kita mesti sentiasa merendah diri apabila diberi kepercayaan dan sentiasa bersedia untuk memperbaiki kelemahan apabila ditegur rakyat.
Namun pada masa yang sama, kita juga perlu yakin bahawa perjuangan yang berasaskan kestabilan, muafakat, kesederhanaan dan pembangunan masih diperlukan oleh Malaysia.
Masa depan BN tidak ditentukan oleh apa yang berlaku semalam. Masa depan BN akan ditentukan oleh keberanian kita untuk berubah, kesungguhan kita berkhidmat dan kemampuan kita menawarkan harapan kepada rakyat. Politik hari ini sudah berubah kaedah dan realitinya.
Politik berasaskan digital semakin menguasai pandangan dan pilihan pengundi. Sempena ulang tahun ke-52 ini, marilah kita melangkah ke hadapan dengan penuh rasa syukur, rendah hati dan keyakinan bahawa BN akan terus menjadi sebahagian daripada usaha membina Malaysia yang aman, stabil, progresif dan bersatu.