Pengalaman sama, haluan berbeza: penganalisis bandingkan Hamzah dan Rafizi

Pengalaman sama, haluan berbeza: penganalisis bandingkan Hamzah dan Rafizi

Dua bekas timbalan presiden parti itu kini membawa haluan politik masing-masing, namun laluan menanti mereka tidak mudah.

Hamzah Zainudin and Rafizi Ramli
Hamzah Zainudin mahu mengukuhkan blok konservatif, manakala Rafizi Ramli cuba menarik sokongan pengundi muda, atas pagar dan bukan Melayu.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Rafizi Ramli dan Hamzah Zainudin mungkin berkongsi pengalaman politik hampir sama, namun penganalisis melihat kedua-duanya kini mengejar matlamat berbeza, di dua sisi bertentangan dalam landskap politik Malaysia yang semakin rumit.

Kedua-dua mereka pernah memegang jawatan berpengaruh sebagai timbalan presiden dalam parti masing-masing — Rafizi dalam PKR, manakala Hamzah dalam Bersatu — sebelum memilih untuk bergerak di atas landasan sendiri.

Rafizi dan bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, mengambil alih teraju Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang cuba menampilkan parti itu sebagai pilihan baharu dalam blok reformis.

Hamzah pula memperkenalkan gerakan ‘Reset’, satu wadah diharap dapat menyusun semula blok konservatif serta menghimpunkan pengundi yang kecewa dengan keadaan politik semasa.

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar.

Hisommudin Bakar daripada Ilham Centre berkata kedua-dua tokoh itu masih mempunyai pengaruh besar dalam gelanggang politik dan menyifatkan mereka sebagai ‘operator politik’ yang berpengalaman.

“Persamaan paling jelas ialah kedua-duanya pernah menjadi timbalan presiden parti masing-masing, satu jawatan yang bukan sekadar simbolik.

“Mereka berada dalam kelompok elit yang menentukan hala tuju parti,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kedua-duanya kemudian tampil mengkritik kepimpinan parti masing-masing secara terbuka dan kini sedang berusaha membina keabsahan untuk gerakan politik baharu mereka.

Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Februari, manakala Rafizi meninggalkan PKR pada Mei.

Namun, Hisommudin berkata persamaan antara kedua-duanya tidak banyak melangkaui perkara itu.

Katanya, Hamzah mengambil pendekatan politik yang lebih tradisional, bertunjangkan jaringan parti, struktur akar umbi dan rundingan di belakang tabir.

Rafizi pula lebih menumpukan kepada kempen digital dan politik berasaskan isu.

Menurut Hisommudin, Rafizi memahami bahawa politik moden tidak lagi bergantung semata-mata kepada ceramah dan mesyuarat parti.

“Beliau membina pengaruh melalui audio siar, media sosial dan naratif politik yang tersusun secara konsisten, dengan sasaran menarik pengundi muda serta mereka yang cenderung menolak politik arus perdana,” katanya.

Hisommudin mengulas perbandingan yang dibuat pengguna media sosial antara Rafizi dan Hamzah.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia pula berkata politik Rafizi lebih tertumpu kepada idealisme reformis yang berkait dengan tadbir urus, ketelusan dan aktivisme masyarakat sivil.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Politik Rafizi memberi tumpuan kepada data dan gerakan masyarakat sivil seperti Bersih, selain isu seperti ketelusan,” katanya.

Mazlan berkata Rafizi cuba menarik sokongan anak muda bandar, pengundi atas pagar dan bukan Melayu yang lebih berminat kepada isu berbanding kesetiaan kepada parti.

“Mereka melihat isu seperti ekonomi, peluang pekerjaan, AI, IT dan masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata Rafizi berdepan cabaran dari segi struktur, sambil menegaskan mana-mana gerakan solo baharu perlu bertahan dalam persekitaran politik Malaysia yang banyak digerakkan oleh gabungan parti.

Katanya, peluang Hamzah terletak pada keupayaannya meletakkan diri sebagai rakan strategik PAS, khususnya apabila semakin ramai pemimpin akar umbi dan ketua bahagian Bersatu dilihat mula beralih sokongan kepadanya.

Bekas naib presiden PKR Tian Chua berkata Rafizi berdepan persaingan dalam ruang parti reformis yang sudah sedia sesak, termasuk PKR, DAP dan Warisan.

Mengenai Hamzah, Tian Chua berkata cabaran terbesarnya bukan soal dikenali ramai, tetapi bagaimana untuk terus bertahan dalam ekosistem politik Melayu yang semakin padat, ketika PAS muncul sebagai kuasa dominan.

“Apabila sudah ada tiga parti dominan Melayu bersaing dalam ruang politik yang sama seperti Perikatan Nasional, persoalannya ialah bagaimana kerusi dan pengaruh akan diagihkan,” katanya.

Beliau menambah, walaupun struktur organisasi dan sokongan Hamzah ketika ini mungkin kelihatan lebih kukuh berbanding Rafizi, bekas menteri dalam negeri itu tetap bergerak dalam gelanggang yang semakin dibentuk dan dikuasai PAS.

“Rafizi seorang pemidato yang bagus dan sangat pandai menarik perhatian.

“Tetapi pilihan raya akhirnya bergantung kepada struktur yang baik dan jentera akar umbi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.