PAS perlu ubah ‘disiplin konvoi’ untuk raih keyakinan pengundi luar tradisi

PAS perlu ubah ‘disiplin konvoi’ untuk raih keyakinan pengundi luar tradisi

Pengundi luar tradisi PAS lebih mudah diyakinkan melalui kerja lapangan yang menyelesaikan masalah harian berbanding sekadar himpunan dan simbol politik.

Penulis tertarik dengan hantaran Pemuda PAS Kemaman di Facebook pada 25 Mei lalu bertajuk ‘Apa manfaat konvoi motosikal’. Tulisan itu menjelaskan aktiviti itu boleh melatih disiplin, organisasi dan kepatuhan kepada arahan.

Disiplin berkenaan antaranya mematuhi had laju dan arahan keselamatan serta bergerak secara jemaah dan tanggungjawab.

Sebagai konteks, tulisan itu dibuat untuk mempromosi Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Pentas Rebana Pantai Air Tawar, Besut pada 5 dan 6 Jun depan.

Satu lagi hantaran yang menarik perhatian penulis dibuat oleh Hiyaz Community di media sosial minggu lalu. Pertubuhan itu memuat naik video kerja-kerja membersihkan pokok yang menghalang papan tanda di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

“Semoga perantau tidak sesat mencari kampung halaman masing-masing,” tulisnya dalam keterangan di hantaran itu, sambil merujuk kepada anak Kelantan yang pulang ke kampung sempena Aidiladha.

Menjengah ke ruang komen di hantaran Pemuda PAS terbabit, ada yang membangkitkan penjimatan bahan bakar ketika bekalan di pasaran belum terjamin susulan krisis di Asia Barat.

Menerusi hantaran di Hiyaz Community pula, ada pengguna media sosial mempersoalkan kerja seperti itu sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dua hantaran ini, walaupun berbeza bentuk, sebenarnya bertemu pada satu persoalan sama: bagaimana tenaga anak muda, disiplin berpasukan dan semangat sukarela boleh diterjemah kepada manfaat yang rakyat benar-benar rasa.

Hujah Pemuda PAS Kemaman konvoi bukan sekadar masuk program, bawa bendera dan ambil gambar ada asasnya. Bukan mudah mengawal ratusan motosikal supaya patuh arahan, menjaga jarak, tidak berlumba, menghormati marshal dan tiba di lokasi dalam keadaan tertib.

Dalam politik anak muda, latihan seperti itu ada nilainya. Ia membentuk kesabaran, kepatuhan kepada arahan, rasa sepasukan dan tanggungjawab kepada peserta lain. Semangat memang penting, tetapi semangat tanpa susunan mudah menjadi serabut.

Jika anak muda boleh disusun dalam konvoi, alangkah baik jika tenaga sama diperkemas untuk kerja amal di Kelantan dan Terengganu, khususnya negeri yang sering berdepan banjir, isu kebersihan, kemudahan awam dan keperluan masyarakat setempat.

Kita perlu berlaku adil kepada Pemuda PAS. Mereka bukan hanya berkonvoi. Ada juga rekod turun membantu kerja kebajikan, terutama misi banjir, termasuk membersihkan rumah mangsa, mengurus bantuan dan membantu penduduk memulihkan kehidupan selepas bencana.

Sebab itu tenaga anak muda bermotosikal tidak wajar dilihat secara sempit. Mereka boleh menjadi pasukan bergerak yang cepat sampai ke kawasan terjejas, tahu jalan kampung, memahami keperluan setempat dan mampu membantu tanpa terlalu banyak birokrasi.

Cuma dalam suasana rakyat semakin sensitif terhadap kos hidup, setiap program besar tetap perlu membaca keadaan semasa. Kritikan terhadap konvoi motosikal mega Perikatan Nasional (PN) pada April lalu, ketika isu bahan bakar menjadi perhatian, tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Bagi penyokong, konvoi mungkin lambang semangat, disiplin dan menunjukkan kekuatan akar umbi lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.

Tetapi bagi peniaga kecil, pekerja harian dan orang biasa, bahan bakar bukan isu politik semata-mata.

Ia soal kelangsungan hidup kerana petrol dan diesel membolehkan mereka berniaga, keluar bekerja, menghantar barang dan menggerakkan ekonomi keluarga.

Kelompok profesional dan bukan Melayu juga mungkin tidak begitu teruja melihat deretan motosikal dan bendera.

Mereka lebih cenderung menilai sama ada sesebuah parti mampu mengurus perkara asas: bekalan bahan bakar mencukupi, persekitaran kediaman terurus, kemudahan awam diselenggara, longkang tidak tersumbat, papan tanda jelas dan kawasan awam selamat digunakan.

Inilah ruang boleh dipertimbang PAS dan PN, lebih-lebih lagi ketika Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar kini memegang peranan lebih besar sebagai ketua pembangkang dan sering dilihat sebagai antara wajah penting masa depan gabungan itu.

Gerak kerja akar umbi sepatutnya membantu mengangkat imej kepimpinan Samsuri atau Dr Sam sebagai lebih sederhana, cekap dan boleh dipercayai merentasi kaum.

Maka jalan tengahnya mudah. Guna disiplin konvoi motosikal untuk hasilkan idea dan kerja-kerja boleh tingkatkan keyakinan pengundi dari segmen kurang dijangkau PAS sebelum ini.

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.