
“Apabila tawaran itu diberikan sebelum ini, kepimpinan PN diterajui Bersatu dan ketika itu MIC memang bersedia menyertainya,” katanya menurut Sinar Harian selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC sempena ulang tahun ke-80 parti itu di Taman DR Seenivasagam, Ipoh.
“Bagaimanapun, keputusan muktamad tidak dibuat. Apabila berlaku perubahan kepimpinan, mandat yang diberikan oleh akar umbi MIC adalah berdasarkan kepimpinan yang diterajui Bersatu ketika itu.”
Pada 17 Mei lalu, media melaporkan keputusan PN menerima penyertaan MIC sebelum itu tidak lagi relevan dan terbatal kerana tiada pengesahan daripada parti terbabit.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan Majlis Tertinggi PN.
Vigneswaran berkata, MIC akan terus bersama Barisan Nasional (BN) walaupun tidak diberikan peranan dalam kerajaan perpaduan kerana jawatan bukan keutamaan dalam perjuangan parti.
Jelasnya, MIC mampu terus berfungsi dan berkhidmat kepada rakyat, walaupun tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Kerusi penting, tetapi tidak sepenting menjaga hak semua kaum. Kita tidak ada jawatan pun tidak merajuk. Kalau kita kembali kepada asas perjuangan parti, jawatan hanya melibatkan segelintir individu. Yang lebih mustahak ialah memastikan hak semua kaum dipelihara dan dijamin.”
Tegasnya, MIC masih relevan dalam landskap politik negara kerana parti berasaskan kaum memainkan peranan penting sebagai platform membincangkan keperluan komuniti tertentu dalam suasana masyarakat majmuk.
Menurutnya, parti komponen BN dapat duduk semeja dan mencari penyelesaian terbaik untuk semua kaum selaras Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang diamalkan sejak merdeka.
Fokus menang berbanding jumlah kerusi
Vigneswaran berkata, MIC akan memfokuskan kemenangan berbanding jumlah kerusi untuk ditandinginya pada PRN Johor dalam usaha memastikan BN terus mendapat mandat mentadbir Johor.
Katanya, semua parti mahu bertanding lebih banyak kerusi, tetapi perkara lebih penting ialah memastikan kerusi yang ditandingi mampu dimenangi.
“Ia mengenai usaha untuk BN terus berkuasa di Johor. Jadi, kita perlu memilih calon dan kerusi yang terbaik. Bukan lagi soal mahu banyak kerusi kerana jika tidak menang, ia menjadi sia-sia.”
Menurutnya, rundingan kerusi bagi PRN Johor telah dilaksanakan, manakala PRN Melaka dijangka tidak menghadapi sebarang masalah.
Beliau menyerahkan kepada kepimpinan BN untuk mengumumkan jumlah kerusi dan DUN yang diperuntukkan kepada MIC.
Pada 16 Mei lalu, media melaporkan BN Johor mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
PRN Johor pada Mac 2022 menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan menang 12 kerusi, PN (3) dan Muda (1).
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027.