
Muhyiddin berkata parti-parti tersebut boleh berunding dengan sebuah ‘jawatankuasa peringkat PN’ mengenai kerusi yang ingin ditandingi.
“Tiada masalah mengenai perkara ini. Kita boleh bekerjasama dan kita yakin serta percaya bahawa dengan kehadiran mereka bersama PN dan Bersatu, kita mampu mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya Bersatu bagi PRN itu di Dataran Baitul Tariq, Klebang, Melaka.
Beliau berkata Bersatu dan PN berhasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dipimpin oleh Muhyiddin, IPR menghimpunkan 11 parti pembangkang termasuk PAS, Bersatu, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang dan Putra.
Parti lain dalam gabungan itu ialah Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Urimai.
Bagaimanapun, ketiadaan wakil PAS dalam beberapa mesyuarat IPR kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai sama ada parti itu masih terus terlibat dalam gabungan tersebut.
Muhyiddin turut berkata Melaka perlu mempunyai satu pelan tindakan yang menggariskan perancangan bagi penciptaan pekerjaan, ekonomi dan pendidikan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Beliau berkata sektor pelancongan perlu terus diperkasa bagi merangsang ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, manakala golongan belia perlu diberikan latihan kemahiran vokasional untuk memperoleh pekerjaan bergaji tinggi.
“Pilih kami dan kami akan memanggil pakar dan wakil penduduk … mari kita rancang masa depan Melaka untuk 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.
Tempoh penggal DUN Melaka akan berakhir pada Disember ini, bermakna PRN ke-16 mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2027.
Namun, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata ia dijangka diadakan pada tahun ini.