
Penganalisis berkata kenyataan Ahmad Fadhli Shaari bahawa PAS akan membantu di mana sahaja Wan Saiful bertanding menunjukkan kumpulan bekas timbalan presiden mempunyai tempat dalam percaturan politik parti itu, walaupun berdepan tentangan daripada kepimpinan Bersatu.
“Walaupun kumpulan Hamzah tak boleh berada bersama-sama dalam kelompok PN kerana ditentang Bersatu, hakikatnya PAS akan bantu,” kata felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan.

Azmi berkata pemimpin PAS itu menunjukkan sokongan ini ketika parti itu dikatakan sanggup ‘melepaskan’ Bersatu. “PAS melihat manfaat kumpulan Hamzah lebih besar daripada manfaat yang dibawa Bersatu yang diketuai Muhyiddin.”
Penganalisis mengulas kenyataan Fadhli di ruang komen Facebook milik Ahli Parlimen Tasek Gelugor terbabit, ketika menjawab soalan salah seorang pengguna pada hantaran Wan Saiful.
Sebelum itu, Wan Saiful menjawab persoalan dibangkitkan bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa Hamzah sebagai punca Bersatu berpecah belah.
Sokongan oleh Fadhli itu menyusul ketika PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam PN.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata Hamzah dikatakan individu yang memiliki jaringan dan keupayaan menyediakan sumber untuk menggerakkan jentera dan kempen.
“Realpolitik menunjukkan bahawa sokongan itu tidak hanya bergantung pada pengaruh politik, ia bergantung pada kemampuan menyediakan dana untuk menggerakkan PN.
“Tanpa dana, aura Hamzah tidak akan cukup untuk mengekalkan PAS bersama bloknya,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata PAS menawarkan ruang dan sokongan kepada Wan Saiful yang dilihat semakin terpinggir.
“Hakikatnya, ini tidak jauh berbeza daripada pendirian Umno yang sebelum ini menyatakan kesediaan menerima semula bekas pemimpin parti,” katanya.