
Syaza Shukri berkata, komunikasi politik memainkan peranan besar dalam memastikan dasar kerajaan mendapat sokongan rakyat tetapi penyelesaian sebenar terletak pada inisiatif penjimatan, jaminan keselamatan makanan dan usaha diplomasi selain kemampuan ‘buy-in’ rakyat.
Namun, beliau memberi amaran ia boleh menjadi liabiliti kepada parti kerajaan terutama jika tiada penekanan terhadap usaha kerajaan dan hanya bersandarkan kepada galakan rakyat berjimat dalam penggunaan tenaga dan kenderaan.
“Sekiranya tiada penekanan usaha kerajaan. Mungkin timbul persepsi kerajaan hanya harap rakyat berjimat,” kata penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada FMT.
Syaza turut mengingatkan naratif penjimatan tidak boleh berlarutan terlalu lama kerana isu kos sara hidup kekal sebagai keutamaan pengundi.
“Jika berpanjangan, ia boleh memberi kesan menjelang pilihan raya kerana ini (naratif krisis bahan bakar) sepatutnya langkah sementara,” katanya.
Selasa lalu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyatnya turun ke akar umbi bagi memberi penerangan mengenai keseriusan krisis tenaga global akibat konflik di Timur Tengah.
Setiausaha Agung, Loke Siew Fook, berkata pemimpin juga digesa menggalakkan rakyat mengambil langkah penjimatan penggunaan tenaga dan kenderaan bagi mengurangkan permintaan terhadap petroleum susulan peningkatan harga minyak global.
Lau Zhe Wei juga dari UIAM berkata, dalam situasi krisis yang sukar diselesaikan, komunikasi menjadi alat penting untuk membentuk persepsi rakyat.
“Krisis tenaga dan minyak memang tidak boleh diselesaikan segera. Jadi pendekatan yang lebih ‘politically correct’ ialah menjelaskan keadaan sebenar dan mendapatkan pemahaman rakyat,” katanya.
Menurutnya, naratif yang betul boleh membezakan antara persepsi kerajaan tidak cekap dengan pemerintahan yang telah melakukan usaha terbaik.
“Jika rakyat faham kerajaan sudah ambil tindakan munasabah, mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyalahkan kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah seperti pengurangan subsidi atau penjimatan sememangnya tidak popular dan boleh menjadi liabiliti politik.
“Cara untuk kurangkan kesan negatif ini ialah dengan memahamkan rakyat tentang keperluan tindakan itu. Selain penerangan di peringkat nasional, sentuhan peribadi di akar umbi juga penting,” katanya.