
Teo berkata, apabila parti menawarkan peluang kepada Marina untuk bertanding kerusi DUN Skudai, sudah dijelaskan bahawa ia hanya untuk tempoh satu penggal.
“Pelan strategik parti adalah untuk membolehkan beliau terlebih dahulu membina rekod dan reputasi sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.
“Selepas itu, parti memerlukan pemimpin muda yang berkebolehan seperti beliau untuk membantu memperluaskan khidmat bakti DAP ke kawasan-kawasan yang bukan kubu tradisi.”
Beliau menambah, memandangkan rundingan kerusi dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) Johor masih berjalan, ada kemungkinan besar DAP akan bertanding di kawasan bandar yang dimenangi PH pada 2018, walaupun beliau tidak mendedahkan kerusi mana yang sedang dipertimbangkan.
“Pada asasnya, kepimpinan parti berpandangan bahawa Marina merupakan calon paling berpotensi mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti.
“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” katanya.
Teo turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Marina atas khidmat bakti dan dedikasi tidak berbelah bahaginya kepada parti serta rakyat selama ini.
“Walaupun beliau memilih untuk berundur dari arena politik, saya yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara.”
Awal hari ini, Marina mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRN akan datang dan memutuskan untuk berundur daripada politik, selepas berkhidmat sebagai wakil rakyat di Johor selama lebih empat tahun.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama individu yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan politiknya dan tumpuannya selepas ini adalah untuk kembali kepada kerja kemasyarakatan yang telah lama dekat dengan dirinya sebelum menceburi dunia politik.
Pada PRN 2022, Marina memperoleh 26,359 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Lim Soon Hai (12,416 undi) dan calon Perikatan Nasional Khoo Keng Ek (6,258 undi).
Marina menyertai DAP sebagai ahli cawangan Indahpura pada 2017, dan terus menerajuinya sebagai pengerusi sehingga kini. Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli majlis di Majlis Perbandaran Kulai pada 2018.