
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata langkah itu yang turut menyasarkan aktiviti perjudian digital dan penyalahgunaan identiti tokoh terkenal antara tanggungjawab baharu di bawah Kod Pengurangan Risiko (RMC).
Beliau berkata, kod itu akan berkuat kuasa esok di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan terpakai kepada penyedia platform media sosial diklasifikasikan sebagai pemegang lesen, iaitu mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.
“Kita banyak melihat ‘sponsored post’ menggunakan wajah individu terkenal untuk buat kandungan seperti pelaburan meragukan, penipuan kewangan serta perjudian dalam talian dan setakat ini sukar mengambil tindakan kerana kita tidak mengetahui siapa sebenarnya membayar iklan tersebut.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Kota Melaka bagi DUN Banda Hilir di Taman Kota Laksamana Cheng Ho di sini.
Teo berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan mewajibkan setiap pengiklan, sama ada individu atau entiti berdaftar melalui proses pengesahan identiti oleh pihak platform, sebelum mereka dibenar menyiarkan iklan berbayar.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, penyedia platform media sosial digesa memberi kerjasama penuh dalam mematuhi RMC serta Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) yang mula berkuat kuasa esok demi menjamin keselamatan pengguna internet.
Mengenai mekanisme pengesahan umur bagi menghalang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial yang turut berkuat kuasa esok, jelasnya, dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport diperlukan bagi tujuan pendaftaran.
Beliau mengakui terdapat segelintir ibu bapa masih mencari pendekatan terbaik untuk meyakinkan anak mengenai langkah keselamatan itu, namun majoritinya menyokong penuh inisiatif berkenaan.
“Memang ibu bapa sangat sokong kerana mereka faham internet ini memang banyak isu seperti buli siber, penderaan seksual dan ‘child grooming’ (antun seksual kanak-kanak), yang semua ini adalah isu dihadapi ibu bapa.”
Katanya, kerajaan akan memberi tempoh munasabah kepada penyedia platform untuk memenuhi tanggungjawab baharu itu, namun tahap pematuhan tinggi amat diharapkan.