1 hari sidang DUN Johor cetus spekulasi pembubaran pada Jun

1 hari sidang DUN Johor cetus spekulasi pembubaran pada Jun

Liow Cai Tung dari DAP mempersoalkan agenda persidangan memandangkan Adun dimaklumkan tidak ada sesi soal jawab.

dun johor
DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April tahun depan jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal dan ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan bersidang hanya sehari pada 22 Jun, mencetuskan spekulasi bahawa DUN akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya mengejut.

Adun Johor Jaya dari DAP, Liow Cai Tung berkata, beliau telah menerima notis mengenai persidangan tersebut hari ini dan tiada sesi soal jawab akan diadakan.

Beliau juga berkata ini bermakna DUN akan bersidang dua bulan berturut-turut, setelah bersidang awal bulan ini dan menambah bahawa ia adalah sesuatu yang belum pernah berlaku.

“Sebenarnya, DUN boleh dibubarkan tanpa perlu mengadakan persidangan.

“Jika bukan untuk mengumumkan pembubaran DUN Johor, apakah agenda persidangan yang akan datang ini? Mari kita teka dan lihat,” kata Adun tiga penggal itu di Facebook.

DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April tahun depan jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal, dengan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan Johor selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi dalam PRN 2022. Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

BN Johor telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding solo dalam PRN, menimbulkan bantahan daripada PH mengenai pakatan perpaduan mereka.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari BN Zahid Hamidi bagi mengadakan perbincangan ‘harmoni’ mengenai pilihan raya Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.