
Tindakan pihak berkuasa agama negeri Kelantan untuk mendakwa seorang individu atas kesalahan menukar jantina secara senyap pada Januari 2026 bakal menimbulkan banyak persoalan dan kerumitan yang berpanjangan. Pendakwaan terhadap individu berusia 30-an yang dirahsiakan itu membabitkan kesalahan mengubah jantina bawah Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang tersebut diwartakan pada 2020.
Ia juga menjadi kes pendakwaan pertama membabitkan individu tukar jantina di Malaysia. Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, seseorang yang didapati bersalah atas pendakwaan ini boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Hukuman ini akan dijalani sekali sahaja, di mana beliau memetik limitasi undang-undang syariah yang tidak boleh menghukum lebih dari apa yang dihadkan. Seseorang yang bertindak menukar jantina dengan melibatkan pembedahan alat sulit tidak akan boleh lagi berundur atau kembali kepada keadaan asal.
Ini hanya bermakna tindakan undang-undang ini adalah satu usaha sia-sia kerana tujuan undang-undang syariah adalah mendidik dan bukan selalunya bermatlamat untuk menghukum. Hal ini mesti ditekuni dengan adil memandangkan tanggapan bahawa golongan transgender adalah kelompok yang sering dikaitkan dengan maksiat, tidak semestinya benar. Malah dalam satu laporan penyiasatan portal terkenal, telah mendapati golongan ini sebenarnya agak religius di mana mereka misalnya masih menunaikan solat berjemaah di masjid meskipun sering dipandang serong, dan rata-rata menyimpan niat untuk menunaikan umrah atau haji, meskipun ia mungkin bermasalah memandangkan pada kad pengenalan dan identiti mereka masih kekal sebagai lelaki.
Kes penukaran jantina begini bukanlah sesuatu yang baru dan pernah menggemparkan Malaysia pada tahun 2011 di mana seorang trans telah memohon untuk menukar identiti jantina di dalam kad pengenalannya.
Perbahasan juga menjadi panas ekoran ada laporan bahawa terdapat banyak kes penukaran jantina khususnya di negeri Kelantan, yang tidak dapat dinafikan oleh pihak berkuasa di Kelantan. Tindakan Kelantan ini juga hanya menjadi preseden dan memberi imej buruk kepada undang-undang syariah di mana pelaksanaan hukuman ini jika dilakukan adalah bersifat berat sebelah. Pesalah jika dijatuhi hukuman penjara akan terpaksa menjalani hukuman itu dalam keadaan identitinya adalah wanita, dan jika ditempatkan di penjara lelaki hanya menimbulkan lebih banyak kesulitan.
Pihak berkuasa agama sepatutnya menyedari hakikat bahawa hukuman ini hanya akan menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari. Misalnya, undang-undang sivil di Malaysia tidak memberi definisi jelas siapakah lelaki dan siapa pula wanita. Di Malaysia, jenayah rogol diperuntukkan bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan iaitu rogol boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap seorang perempuan, mesti wujud unsur ketidakrelaan dan perlu ada kemasukan alat kelamin lelaki ke dalam faraj wanita.
Bagaimanakah kedudukan sekiranya jenayah rogol itu dilakukan terhadap seorang yang transeksual, adakah ia boleh dianggap satu kesalahan dan sabitan boleh dikenakan? Ini kerana menurut undang-undang syariah di Malaysia seorang transeksual bukanlah perempuan yang sebenar. Demikian juga jika seorang lelaki melakukan perbuatan khalwat dengan seorang transeksual, pasangannya bukanlah seorang perempuan asli, dan menurut undang-undang adalah seorang lelaki juga.
Persoalan hukuman terhadap transgender terus menghantui pihak berkuasa agama di Malaysia malah seluruh dunia kerana ketidaksediaan negara ini untuk menilai realiti semasa, dan kekal berpegang kepada pandangan syariah yang ketat dan tidak terbuka.
Kecenderungan hukuman terhadap kesalahan menukar jantina ini sangat cenderung kepada hukuman dan pandangan yang ketat, oleh pihak berkuasa agama di Arab Saudi. Ia tidak semestinya mencerminkan tanggapan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah ataupun Syiah yang sebenarnya lebih toleran meskipun terdapat limitasi dan kelayakan minimum yang perlu dipenuhi.
Autoriti mazhab Sunni misalnya pernah menyatakan keizinan untuk menukar jantina menerusi pendekatan ijtihad. Ini boleh ditemukan pada fatwa Sheikh Muhammad al Tantawi dari Mesir. Manakala di Iran yang lebih dominan mazhab Syiah terdapat fatwa Imam Khomeini, yang dianggap progresif dalam membenarkan seseorang untuk menukar jantina jika terdapat keperluan.
Antara kelayakan untuk menukar jantina ialah memastikan individu tersebut benar-benar terdapat kecelaruan organ seksual, manakala di dalam pandangan mazhab Syiah pula ia mestilah mendapatkan antara lain keizinan marja’i taqlid selain beroleh laporan rujukan yang memuaskan daripada pakar psikologi dan psikiatri. Pun, keizinan menukar jantina bagaimanapun bukanlah jaminan individu yang melakukannya bebas dari diskriminasi masyarakat.
Ketidaksediaan pihak berkuasa agama di Malaysia untuk berpegang kepada maqasid syariah iaitu tujuan dan matlamat undang-undang syariah yang sebenar meletakkan negara ini di banyak persimpangan yang menyulitkan. Objektif syariah atau dikenali sebagai Maqasid al-Shari’ah adalah untuk melindungi kebajikan, keadilan dan memberikan pengampunan kepada seseorang dan bukanlah hukuman semata-mata. Malah untuk menjatuhkan hukuman, taubat atau penyesalan menjadi syarat utama, dan seseorang individu yang menukar jantina tidak mesti menyesal malah dalam banyak keadaan seperti dilaporkan berpuas hati dan berasa lega melakukannya.
Dalam hal ini, bagaimana kiranya seseorang trans itu pesen beragama. Artikel ini bukan bertujuan untuk mempertahankan ‘pengubahan jantina’ tetapi menuntut kesediaan pihak berkuasa agama untuk menyegarkan tafsiran agama, menurut maqasid. Islam adalah agama rahmah, bukan marah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.