
Pairin merupakan presiden pengasas PBS dan Huguan Siou bagi komuniti KDM. Beliau secara meluas dianggap tokoh cukup berpengaruh dalam parti itu walaupun sudah berundur daripada politik arus perdana, kata Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Restunya bukan sekadar sokongan politik, bahkan satu bentuk legitimasi budaya dan moral yang sangat didambakan calon demi memastikan undi akar umbi PBS,” katanya kepada FMT. Sokongan Pairin berperanan memberi kestabilan mengelak sebarang perpecahan dalaman ketika pemilihan parti.
“Walaupun beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, sekeping foto ringkas di sebelah pemimpin tertentu sudah memadai memberi isyarat persetujuan kepada perwakilan,” kata Lee.

Pairin mengasaskan PBS pada 1985 dan memimpin parti itu mencapai kemenangan pada PRN, seterusnya berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah dari 1985 hingga 1994. Beliau melepaskan jawatan presiden parti pada 2018.
Penggantinya, Maximus Ongkili, meletak jawatan pada Jun 2024 atas faktor kesihatan, dan Dr Joachim Gunsalam mengambil alih tugas pemangku presiden.
PBS dijangka mengadakan pemilihan parti tahun ini dengan Joachim dijangka akan bertanding secara rasmi bagi jawatan presiden, seterusnya akan membuka persaingan bagi jawatan timbalan presiden Bumiputera bukan Islam, di mana pengaruh Pairin mampu menjadi penentu.
PBS mempunyai tiga timbalan presiden mewakili komuniti Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam, dan Cina. Sebagai parti berasaskan KDM, jawatan timbalan presiden Bumiputera bukan Islam sering dilihat sebagai pengganti seterusnya untuk menerajui parti berkenaan.
Joachim dipilih sebagai timbalan presiden PBS bagi kuota Bumiputera bukan Islam pada 2022, menumpaskan Joniston Bangkuai, yang kemudiannya dilantik ketua penerangan PBS.
Dua lagi timbalan presiden PBS, Jahid Jahim (Bumiputera Islam) dan Yee Moh Chai (Cina). Kedua-duanya tidak memegang sebarang kerusi Parlimen atau DUN.
Pairin, yang berada di Kuala Lumpur untuk melancarkan Explore Sabah di Matta Fair pada hujung minggu lalu, enggan mengulas apabila ditanya mengenai pemilihan PBS akan datang.
Peranan utama di sebalik tabir

Syahruddin Awang Ahmad juga dari UMS, berpandangan Pairin terus memainkan peranan utama di sebalik tabir dalam PBS, sambil menyifatkannya ‘tokoh veteran agung dan perantara utama’ parti.
“Beliau menggunakan pengaruhnya melalui perundingan di belakang tabir dan penampilan awam pada acara utama parti, di mana kehadirannya memperkukuh perpaduan parti,” kata Syahruddin.
Mengulas persaingan jawatan timbalan presiden, Syahruddin berkata input daripada Pairin sangat penting dan pastinya akan memberi impak besar, memandangkan jawatan itu berpengaruh bagi rancangan peralihan kuasa parti.
“Walaupun proses pemilihan dilakukan secara demokratik, isyarat halus daripada Huguan Siou boleh menyatukan sokongan dan menghalang perebutan yang memecahbelahkan,” tambahnya.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah, berkata peranan Pairin sebagai penasihat parti memberikan legitimasi dan hala tuju kepada parti.
“Kehadiran beliau mencerminkan kedua-dua legitimasi sejarah dan kewibawaan simbolik dalam parti. Sokongan dan galakan moral daripadanya sering dilihat sangat penting dalam mengekalkan perpaduan parti, memperkukuh sokongan dalaman, serta memperkasakan hala tuju ideologi.”