
Bendahari Agung Sanusi Nor tanpa berselindung mengakui konvoi bermotosikal Perikatan Nasional (PN) di Terengganu, Sabtu lalu, untuk menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai beban ketika negara dilanda krisis.
Jelas kenyataan Sanusi menunjukkan PN sudah memulakan gerakan atau kempen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya.
Hujahan itu menyusul apabila mengulas teguran Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang mengkritik konvoi berkenaan dengan menyifatkannya sebagai pembaziran besar-besaran ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
Pada hari sama penganjuran konvoi itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan di Ipoh pula membayangkan PRU16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menyeru semua pihak bekerjasama dalam mencari penyelesaian ketika berdepan krisis tenaga global.
Beliau menegaskan, situasi semasa bukan berkaitan pertarungan politik, sebaliknya semua pihak perlu bersabar dan menumpukan kepada usaha menangani cabaran negara.
Perkembangan itu memperlihatkan realiti politik sukar dinafikan – walaupun PRU16 masih jauh, rentak kempen sudah mula digerakkan secara terbuka.
Kenyataan Sanusi bukan sekadar reaksi spontan, sebaliknya mencerminkan strategi awal PN untuk membentuk naratif kerajaan perpaduan hari ini gagal menangani tekanan kos hidup dan krisis global.
Dalam politik moden, persepsi sering mendahului fakta. Konvoi bermotosikal mungkin dilihat sebagai acara simbolik, namun mesej cuba disampaikan lebih besar: pembangkang mahu dilihat dekat dengan rakyat, aktif dan bersedia menggantikan kerajaan sedia ada.
Ini adalah taktik ‘soft campaigning’ yang lazim membina momentum tanpa perlu menunggu pembubaran Parlimen.
Namun, kritikan Nurul Izzah juga tidak boleh dipandang ringan. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, setiap tindakan berunsur demonstrasi kekuatan politik mudah ditafsir sebagai tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat. Apatah lagi apabila isu kos sara hidup, subsidi tenaga dan kestabilan ekonomi menjadi kebimbangan utama rakyat ketika ini.
Ucapan Anwar di Ipoh pula cuba meredakan suhu politik dengan menyeru semua pihak memberi keutamaan kepada pentadbiran dan pemulihan ekonomi. Namun, realitinya politik tidak pernah benar-benar ‘berehat’. Ia sentiasa bergerak, sama ada secara terbuka atau tersirat.
Lebih menarik, kenyataan ‘tidak akan ada pilihan raya dalam satu dua bulan ini’ juga boleh ditafsir sebagai pengakuan suhu politik semakin meningkat. Apabila pemimpin perlu menegaskan ketiadaan pilihan raya, ia menandakan spekulasi sudah mula berlegar dalam kalangan elit dan akar umbi.
Hakikatnya, Malaysia kini berada dalam fasa prakempen yang panjang. Parti politik sedang menguji naratif, mengukur reaksi rakyat dan memperkukuh jentera masing-masing. Isu seperti krisis tenaga global, kos hidup dan kecekapan pentadbiran akan terus menjadi bahan utama dalam pergelutan ini.
Namun, persoalan lebih besar ialah adakah rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada kempen yang terlalu awal?
Atau adakah ahli politik kita sekadar bergantung pada retorik untuk meraih sokongan pengundi tanpa menawarkan penyelesaian yang sebenar?
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.