Asingkan PRN, Parlimen, kata ketua DAP Sarawak

Asingkan PRN, Parlimen, kata ketua DAP Sarawak

Chong Chieng Jen berkata pilihan raya berasingan beri peluang dua kali kepada pengundi menyuarakan tuntutan.

undi mengundi
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, berkata apabila PRN dan pilihan raya parlimen diadakan berasingan pada masa lalu, ia membolehkan lebih banyak isu mendapat perhatian lebih besar.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan berasingan kerana mampu menggandakan peluang pengundi menyuarakan tuntutan kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun.

Ahli Parlimen Stampin itu, berkata jika pengundi boleh mengundi dua kali, kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada isu dihadapi rakyat demi memastikan mereka mendapat sokongan, lapor Borneo Post.

Chong Chieng Jen
Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, apabila PRN dan pilihan raya Parlimen diadakan berasingan pada masa lalu, ia membolehkan lebih banyak isu mendapat perhatian lebih besar.

“Saya cenderung memilih pilihan raya berasingan kerana pengundi berpeluang dua kali untuk menyuarakan tuntutan mereka kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun,” kata Chong memetik laporan berkenaan.

Beliau berkata demikian seminggu selepas seorang pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuarakan sokongan agar PRU16 diadakan serentak dengan PRN Sarawak ke-13.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata mengadakan dua pilihan raya serentak mampu menjimatkan dana awam yang besar.

Pada September tahun lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mencadangkan PRN 11 negeri di Semenanjung diadakan serentak bersama PRU16.

Loke berkata, mengadakan pilihan raya pada masa sama dapat menjimatkan kos dan menyelaraskan semula penggal kerajaan persekutuan dan negeri.

Data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menunjukkan kerajaan membelanjakan RM725 juta untuk mengadakan PRU15, manakala enam PRN yang diadakan berasingan melibatkan tambahan kos RM420 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.