
Rahim yang juga bekas ketua Bersatu Melaka mendakwa penghijrahan itu berlaku secara semula jadi kerana ahli semakin kecewa dengan budaya dalam parti, bukan kerana dihasut mana-mana pemimpin termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.
“Jadi bukanlah Hamzah yang menghasut untuk memecahkan Bersatu.
“Ini berlaku kerana apa yang terjadi dan menjadi amali dalam parti sendiri itulah yang menyebabkan penghijrahan beramai-ramai dari parti Bersatu,” katanya di Facebook.

Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin Yassin itu, melancarkan gerakan Reset sehari kemudian.
Ahli Parlimen Larut itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu.
Selain Hamzah, antara wakil rakyat dan pimpina dipecat adalah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Bekas naib presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin antara pemimpin digantung keahlian.
Mengulas lanjut, Rahim berkata Bersatu kini tidak lagi mampu bergerak jauh kerana dibelenggu budaya politik negatif dan merosakkan.
Rahim turut mempertahankan sokongannya terhadap Reset, sambil berkata ia bukan gerakan untuk memecahkan Bersatu, sebaliknya lahir daripada kekecewaan ahli terhadap kepincangan dalam parti sendiri.